Apa persediaan menjelang pembukaan sekolah?

0
294

MENTERI Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr Mohd Radzi Jidin telah mengumumkan sekolah akan mula dibuka semula pada 3 Oktober 2021 di negeri fasa 2 dan 3.

Walaupun hanya tinggal tiga minggu sebelum sekolah mula dibuka, masyarakat khususnya ibu bapa masih tertanya-tanya dan belum jelas apakah Pelan Pembukaan Sekolah yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan.

Pengalaman yang lepas pada bulan April 2021 dan Julai 2021 menunjukkan Kementerian Pendidikan akan mengumumkan keputusan pembukaan sekolah seminggu sebelum sekolah dibuka dan ini menyebabkan ibu bapa dalam keadaan tergesa-gesa untuk membuka persiapan persekolahan anak-anak mereka.

Setakat 30 Ogos lepas, Kementerian Pendidikan hanya mengumumkan pelaksanaan program KPMPERKASAKU sahaja. Program ini hanya memberikan maklumat tentang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) antara bulan September 2021 hingga Februari 2022.

Fokus utama UKMPERKASAKU adalah untuk menyelesaikan silibus atau sukatan pelajaran yang banyak ketinggalan akibat sekolah ditutup.

Sepatutnya Pelan Pembukaan Sekolah 3 Oktober 2021 nanti bukan hanya tertumpu kepada proses PdP untuk menghabiskan silibus semata mata seperti yang terkandung di dalam program KPMPerkasaKU.

Pelan Pembukaan Sekolah juga harus mengambil kira keperluan lain. Antaranya;

(1) Isu kesihatan mental (kemurungan, kesedihan dan stress) dalam kalangan murid-murid. Setakat ini tiada program dalam pelan pembukaan sekolah untuk kembalikan semangat, keseronokan dan inisiatif untuk kukuhkan kembali semangat dan psikologi murid-murid. Sepatutnya Kementerian Pendidikan adakan ‘minggu penyesuaian pembelajaran’ untuk dua minggu pertama persekolahan 3 Oktober nanti.

(2) Isu kebajikan murid-murid yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat Covid-19 dan murid-murid dari keluarga miskin tegar yang terjejas kehidupan akibat Covid-19.

(3) Isu nutrisi dan pemakanan yang mengugat tumbesaran murid-murid. Murid-murid sangat memerlukan program makanan tambahan yang terancang di sekolah untuk kembalikan keseimbangan tumbesaran.

(4) Menyediakan alternatif PdP di rumah (PdPR) yang bersifat inklusif dan berkesan bagi kumpulan murid-murid yang masih tidak dibenarkan oleh ibubapa mereka untuk ke sekolah kerana bimbang jangkitan Covid-19.

Pelan Pembukaan Sekolah juga sepatutnya lebih menyeluruh dan mempunyai agenda yang mencakupi keseluruhan latar belakang murid-murid di berbagai lokaliti dan tahap ekonomi. Pelan Pembukaan Sekolah mestilah berkonsepkan desentralisasi pentadbiran dan membuka keputusan.

Pelan Pembukaan Sekolah juga mesti mengambil kira kumpulan murid-murid yang rentan pendidikan seperti murid-murid tahun satu hingga tahun tiga sekolah rendah untuk menguasai kemahiran 3M, kumpulan murid-murid yang tertinggal pendidikan mereka di sekolah kawasan pedalaman dan kumpulan murid-murid OKU.

Kementerian Pendidikan sepatutnya telah bersedia dengan satu cadangan Pelan Pembukaan Sekolah yang lebih meyakinkan berbanding Pelan Pembukaan Sekolah pada bulan April 2021 yang lepas.

Pelan Pembukaan Sekolah untuk 3 Oktober 2021 nanti mestilah menyeluruh, bersasar dan telah mendapat maklumbalas ibubapa, guru-guru, ahli-ahli pendidikan dan NGO pendidikan.

Soalannya, dengan hanya ada tiga minggu lagi sebelum sekolah mula dibuat, apakah Kementerian Pendidikan telah bersedia?

Oleh DR ANUAR AHMAD
Pensyarah di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here