Sikap ‘on the way’ – punca terlepas pingat emas

0
281

PINGAT emas dan Malaysia dalam kejohanan bertaraf dunia adalah perkara yang sangat luar biasa dan jarang-jarang berlaku. Tidak hairan apabila seseorang atlet berjaya memperolehi emas, seluruh tumpuan terarah kepadanya.

Malah, ada yang atlet yang diraikan sehingga mendapat darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran Datuk serta kebanggaan sepanjang hayat dan menjadi ikon sukan negara.

Ketika seluruh negara terpaku di hadapan skrin masing-masing dan gembira melihat kejayaan atlet para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli memperolehi pingat emas lontar peluru, kita dikejutkan dengan kesilapan teknikal sekaligus pingat emas dan rekod dunia Ziyad dibatalkan.

Ramai netizen negara kita yang marah hingga menyerang laman sosial atlet Ukraine yang sebenarnya langsung tidak bersalah. Kasihan melihat beliau terpaksa meminta maaf sedangkan beliau langsung tidak berniat untuk memenangi emas dengan cara sebegitu.

Apa yang kita boleh belajar dari episod duka sukan negara kita ini ialah sukan adalah pertandingan yang dijalankan berdasarkan peraturan dan disiplin. Kedua-dua perkara ini terguna pakai bukan sahaja ketika perlawanan tetapi sebelum acara bermula lagi.

Soalan yang perlu ditanya sebenarnya adalah mengapa atlet kita lewat melaporkan diri ke ‘call room’. Kita sendiri sebenarnya yang membenarkan dan membuka ruang kepada pihak lawan untuk melakukan protes terhadap kita.

Kecewa apabila membaca laporan yang diterima seakan-akan menyalahkan hujan dan kesesakan kawasan atlet sebagai sebab utama Ziyad lewat tiba di ‘call room’. Sampai bila kita tidak mahu mengaku bahawa kita lemah dalam pengurusan masa.

Jika benar hujan dan kesesakan kawasan atlet seperti yang dikatakan, mengapa lima lagi atlet yang beraksi dalam acara sama boleh tiba sebelum waktu akhir. Mengapa kita terlewat? Adakah kerana sudah biasa dengan cara ‘on the way’ hingga terlalu leka.

Ketika inilah amalan yang sering dilakukan oleh orang Kedah iaitu ‘awai tak kalut’ harus digunakan kerana sememangnya tidak rugi untuk hadir sekurang-kurangnya 15 minit lebih awal ke mana sahaja kita pergi.

Tidak perlu menyalahkan pihak lawan kerana jika kita tidak membuka ruang dan peluang, sudah tentu Ziyad akan pulang sebagai juara Paralimpik yang memecahkan rekod dunia dan dua rekod kebangsaan dalam satu balingan.

Di laman sosial, ada yang berkata “alaa dua minit je bukan 20 minit”. Inilah sebenarnya kesilapan masyarakat kita. Kita ‘menghalalkan’ cara dengan tidak mengutamakan masa malah menganggap dua minit itu bukan lewat dan boleh dimaafkan.

Tahukah anda, dalam sukan, jangankan dua minit atau dua saat tetapi 0.002 saat pun boleh memisahkan pemenang sama ada berjaya mendapat pingat emas ataupun berpuas hati dengan pingat perak sahaja.

Ziyad sebagai atlet para pastinya memerlukan pertolongan pegawai pengiring untuk memastikan beliau mematuhi segala peraturan dan masa yang telah ditetapkan. Tugas atlet adalah beraksi dan bukannya pening kepala mahu menjaga bahagian teknikal sebelum acara mereka.

Siapakah pegawai pengiring yang menjadi salah satu punca terlepasnya pingat emas dari tangan Ziyad yang sudah membuktikan kemampuan beliau. Lima tahun beliau berlatih, berkorban segalanya tetapi akhirnya dinafikan kerana kesilapan pihak lain.

Majlis Sukan Negara (MSN) dan Chef De Mission perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap kesilapan teknikal ini. Kekalahan akibat teknikal adalah lebih pedih jika dibandingkan dengan tewas dalam pertandingan sebenar.

Kepada Ziyad, anda tidak perlu meminta maaf. Anda sudah ‘deliver’ tetapi ada individu yang terleka atau sekadar berkelayakkan menjadi pegawai pertandingan MSSM sahaja yang sebenarnya perlu memikul tanggungjawab ini.

Sikap ‘on the way’ yang sering disebut rakyat Malaysia ini harus dikikis sepenuhnya dari dalam diri kita semua. Kita yang menanggung kerugian sebenarnya.

Apa yang menarik, kita semua diberikan kesedaran tentang kepentingan waktu sempena Hari Kebangsaan kita yang ke-64. Sekarang jelaslah kepada semua bahawa masa itu adalah emas yang sebenar.

Ingat. Masa itu emas dan pingat emas itu sangat sukar untuk negara kita perolehi. Semoga apa yang terjadi ini membuka mata banyak pihak dan sama-sama kita ubah mentaliti kita. Fikir-fikirkanlah.

Oleh JJFIRDAUS

Kuala Lumpur

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here