Kabinet meneruskan agenda, bukan Kabinet selepas pilihan raya

0
277

KENAPA besar sangat? Kenapa orang itu tak dipilih? Kenapa orang ini boleh masuk Kabinet? Apa perubahannya..tak ada pun…muka sama saja!

Itulah antara komen-komen dalam sosial media termasuklah dalam grup-grup WhatsApp.

Masing-masing ada pandangan tersendiri, buatlah macam manapun pasti ada yang tidak berpuas hati.

Tetapi apa boleh buat ini negara demokrasi, semua orang berhak memberikan pendapat masing-masing secara bebas.

Namun dalam keterujaan memberikan komen-komen cuba berfikir dengan tenang, jangan ikut emosi, apatah lagi dibelenggu oleh sentimen kepartian.

Fakta yang tidak harus dilupakan ialah kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri sekarang masih disertai oleh gabungan parti-parti yang sama.

Semua ahli Parlimen yang berada dalam blok kerajaan sekarang, adalah ahli Parlimen yang ada ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

Tambahan pula, kerajaan di bawah kepemimpinan Ismail Sabri juga berhadapan dengan masalah dan cabaran yang sama itu pandemik Covid-19. 

‘Peperangan’ ini belum berakhir  dan atas dasar inilah majoriti  menteri dikekalkan walaupun ada berubah portfolio.

Sementara  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus dikekalkan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang sebelum ini Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) telah ditugaskan sebagai Menteri Kanan Pertahanan manakala  Khairy Jamaluddin yang sebelum ini menunjukkan prestasi cemerlang di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi khususnya dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah ditukarkan portolio lebih mencabar iaitu sebagai Menteri Kesihatan.

Beliau bertukar portfolio dengan Datuk Seri Dr.Adham Baba.

Dalam keadaan belum pulih daripada pandemik Covid-19, pembentukan Kabinet perlu dibuat secara berhati-hati kerana dasar sedia ada belum berubah. Ia juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan dasar kerajaan sebelum ini terutamanya PPN dikekalkan dan diteruskan.

Ia bermakna apa yang dilaksanakan oleh Muhyiddin sebelum ini sudah meletakkan negara di landasan yang betul untuk membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19. Tetapi malangnya, ia lebih banyak ditutupi dengan ‘serangan politik’ yang tidak berkesudahan’.

Atas sebab itulah Ismail Sabri dalam ucapan menegaskan, ‘’ Umum mengetahui saya menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya. Justeru, pembentukan Kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.’’

Dan jangan lupa beliau juga menegaskan, ‘’Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.’’

Pengekalan beberapa lagi menteri juga tidak harus dipolemikkan kerana mereka juga menunjukkan prestasi memuaskan sebelum ini seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Rina Harun, Datuk Zuraida Kamarudin.

Apa yang penting sekarang ialah kesemua anggota Kabinet tersebut tidak kira sesiapapun termasuk bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu perlu diberi peluang melaksanakan tugas masing-masing dengan tenang.

Janganlah terlalu awal menghukum mereka termasuk bermain sentimen kenapa muka lama masih dikekalkan. Perlu diingat sebelum ini sesiapa juga menjadi Perdana Menteri dan apabila Kabinet dibentuk akan ada persoalan muka lama, muka baharu ini.

Negara ini tidak akan aman, politik Malaysia tidak akan stabil selagi ada puak-puak yang merasakan apa sahaja yang kerajaan buat tidak betul.

Tukarlah berapa kali Perdana Menteri sekalipun, mereka tetap tidak berpiuashati kecualilah apa yang mereka ingin dipenuhi dan agenda politik mereka tercapai.

Itu sahaja.

Kesimpulannya, berilah peluang kepada Ismail Sabri dan barisan Kabinet melaksanakan agenda menguruskan negara.

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Penganalisis politik

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.

Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

SatuBerita menghargai pendapat anda.

Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here