PAS setuju kerjasama rentas parti

0
231

SETIAUSAHA Agung PAS, Takiyuddin Hassan, menegaskan parti itu sangat bersetuju dengan pendekatan kerjasama politik rentas parti yang telah dipelopori oleh Kerajaan sejak beberapa bulan lalu, dan kini diteruskan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, PAS berpandangan langkah itu adalah selaras dengan realiti politik masa kini dalam konteks pentadbiran negara di seluruh dunia, di mana tidak wujud dominasi satu-satu parti politik selepas sesuatu pilihan raya umum diadakan.

“Justeru PAS menyambut baik sambutan pimpinan parti-parti pembangkang utama di negara ini terhadap usaha pemulihan negara yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan yang turut memberikan ruang yang luas kepada semua pihak untuk sama-sama menyumbang idea dan buah fikiran dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 serta kesannya termasuk aspek ekonomi dan sosial.” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Takiyuddin turut menyatakan PAS juga yakin Kerajaan akan terus berinteraksi dan mewujudkan kerjasama yang lebih konstruktif melibatkan semua pemegang taruh termasuk pihak pembangkang ke arah langkah-langkah reformasi merangkumi semua sektor, institusi dan segmen masyarakat.

“Dengan ini diharapkan akan menjadi suatu permulaan yang baik bagi pembentukan landskap baharu politik negara yang mementingkan kesejahteraan, keharmonian dan keadilan kepada semua rakyat yang terdiri dari masyarakat majmuk.” katanya. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here