Tubuh Kabinet penuhi harapan rakyat bukan kehendak politik

0
338

SIAPAKAH yang akan dipilih menganggotai Kabinet? Siapa yang akan digugurkan? Adakah Kabinet yang dibentuk akan memenuhi aspirasi rakyat atau sekadar memenuhi kehendak ahli politik?

Sememangnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhadapan ujian ‘getir’ pertama sebagai Perdana Menteri iaitu membentuk jemaah menteri bagi menguruskan negara ini. Pelbagai pandangan sudah diberikan oleh pelbagai pihak sama ada orang politik mahupun bukan orang politik.

Pastinya Ismail Sabri tidak akan mampu sama sekali memenuhi apatah lagi memuaskan hati semua orang terutamanya dalam kalangan ahli-ahli politik yang mengharapkan nama mereka disenaraikan. Buatlah sebaik manapun pasti yang ada tidak berpuas hati.

Pasti ‘juak-juak’ politik yang berada dalam parti Ismail Sabri sendiri akan buat bising seolah-olah mereka hebat sangat dalam arena politik. Dan pasti ada kumpulan pembangkang akan mengkritik itu dan ini manakala akan ada kelompok di luar politik yang turut ‘tumpang sekaki’.

Tetapi semua itu tidak seharusnya membelenggu Ismail Sabri. Beliau ada tanggungjawab lebih penting daripada mahu memuaskan hati semua pihak terutamanya ahli-ahli politik. Apa yang penting kepada beliau ialah membentuk satu Kabinet yang berupaya untuk memenuhi kehendak rayat dan memulihkan negara daripada pandemik Covid-19.

Sudah pasti ada muka baharu akan dilantik dan akan ada muka lama akan digugurkan malah sudah tentu ada yang gagal dalam lobi melobi untuk masuk ke Kabinet walaupun sejak beberapa hari ini antara mereka dilihat bersama Perdana Menteri.

Namun kalau kesemua ahli-ahli Parlimen dalam parti-parti kerajaan benar-benar berjuang untuk rakyat, mereka akan menerima dengan redha jika tidak terpilih manakala yang terpilih juga perlu redha kerana mereka mempunyai tanggungjawab cukup besar untuk memulihkan negara berikutan pandemik Covid-19.

Di tangan barisan Kabinet baharu inilah ia akan menjadi penentu kepada masa depan kerajaan dalam pilihan raya umum nanti. Tidak payahlah dok kira daripada parti mana. Selagi mana mereka berada dalam kerajaan maka apapun yang berlaku semua parti perlu bersama-sama mengambil tanggungjawab bukan hanya bijak menyalahkan Perdana Menteri sahaja.

Tak payahlah buat perangai buruk sesetengah pemimpin UMNO sebelum ini, semuanya disalahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sedangkan dalam kerajaan sebelum inipun ada wakil UMNO. Dan Ismail Sabri sudah menunjukkan contoh yang cukup baik apabila terus bersama kerajaan biarpun partinya menarik sokongan.

Justeru perangai UMNO sebelum ini jangan berulang lagi. Apapun bentuk Kabinet yang dibentuk dan siapa juga yang dipilih mereka harus terima. Yang mana pernah sudah kalah dalam pilihan raya, tidak perlu bercita-cita nak masuk ke dalam Kabinet atau melobi mahu memegang jawatan dalam kerajaan, menang dulu pilihan raya, lepas tu boleh cerita.

Ismail Sabri harus diberikan kebebasan untuk membuat keputusan. Kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri perlu dihormati.

Penulis faham dengan jumlah sokongan yang diterima oleh Ismail Sabri, ia boleh memberi kesukaran kepada beliau untuk membuat keputusan terutamanya dengan kerenah ahli Parlimen daripada parti sendiri. Ismail Sabri tidak perlu gusar, beliau harus menunjukkan ketegasan beliau sebagai Perdana Menteri.

Penulis percaya sebagai seorang ahli politik berpengalaman Ismail Sabri pasti mampu menangani cabaran untuk membentuk Kabinet.

Kalau ada mahu menjadikan sokongan  yang diberikan kepada beliau sebagai ‘alat tawar-menawar’, biarkan sahaja. Sama-sama kita lihat siapa yang akan sanggup menjadi munafik kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi.

Kalau orang itu mahu menjadi ‘duri dalam daging’ silakan sahaja, biar rakyat menilai. Lagipun rakyat sudah lihat watak-watak ini ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dahulu, jadi tiada apa-apa yang nak dihairankan apa tah lagi jika ia melibatkan pemimpin daripada UMNO.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here