Setuju terima vaksin sebab rindu solat berjemaah di masjid

0
284

TUJUANYA hanya satu. Mahu bersolat berjemaah di masjid dan itulah alasan kenapa Che Ismail Che Tahir yang berusia 101 tahun akhirnya bersetuju untuk menerima vaksin Covid-19.

Alasan rindu untuk solat berjemaah itu pantas digunakan oleh cucu dan cicitnya membawa warga emas ini menerima vaksin Covid-19 di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini.

Che Ismail yang tinggal di Kampung Gong Kijang di sini hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) integrasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ditemani cucunya, Mohd Jailani Harun, 52, dan dua cicit.

Mohd Jailani berkata, datuknya itu telah mendapat janji temu vaksin ketika fasa pertama untuk warga emas dibuka, namun belum bersedia ketika itu disebabkan kurang pendedahan mengenai kepentingan vaksin.

“Kami tidak berputus asa untuk memujuk tokki (datuk) mendapatkan vaksin demi kesihatannya. Antara kelebihan apabila lengkap dua dos vaksin ialah dapat berjemaah di masjid dan surau, jadi kami terangkan perkara itu kepada tokki.

“Akhirnya tokki setuju dan kebetulan pula saya ternampak di Facebook dua hari lepas bahawa UniSZA memberi peluang untuk mana-mana individu yang belum mendapat vaksin agar datang ‘walk in’ ke sana. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Che Ismail adalah penerima vaksin tertua di PPV tersebut hari ini. Beliau yang menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech itu bagaimanapun tidak dapat ditemu bual kerana masalah pendengaran.

Sementara itu, Pengarah PPV Integrasi UniSZA, Nik Arif Nik Mohamed berkata, selain warga emas, keutamaan untuk ‘walk in’ atau tanpa janji temu juga diberi kepada wanita hamil, orang kurang upaya dan individu yang terlepas tarikh janji temu vaksin kerana kekangan tertentu.

“Sejak dibuka dua hari lepas, sambutan memang amat menggalakkan. Oleh itu, PPV Integrasi UniSZA turut menyediakan 20 unit khemah, 400 kerusi di luar dewan dan 600 kerusi di dalam dewan bagi menampung pertambahan tersebut.

“Jumlah petugas di PPV ialah 250 orang untuk dua syif, iaitu pagi dan petang. Ia masih mencukupi untuk memenuhi peningkatan penerima vaksin dan kami juga memastikan mereka patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sepanjang proses vaksinasi berjalan,” katanya.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here