PM, pimpinan PH capai titik persetujuan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah berjaya mencapai titik persetujuan dalam agenda kepentingan rakyat dan memperkasa fungsi Parlimen Malaysia.

Persetujuan berkenaan telah dicapai dalam satu pertemuan yang berlangsung selama lebih sejam di Putra Perdana, Putrajaya sebentar tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini, perbincangan yang diadakan tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19.

Selain itu, aspek menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan turut menjadi tajuk utama perbincangan.

Kenyataan berkenaan turut memaklumkan bahawa persetujuan turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

“(Pertemuan diadakan bagi) menjunjung kasih di atas nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah untuk meredakan suhu politik dalam negara.

“Saya telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang bagi merealisasikan titah hasrat Baginda Tuanku,” kata Perdana Menteri ke-9 itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Hadir dalam pertemuan di pejabat saya adalah Ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), YB Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng. – SB