Permohonan Syed Saddiq Pindah Kes Ke Mahkamah Tinggi Didengar 25 November

0
282

PERMOHONAN Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memindahkan empat kes yang dihadapinya berkaitan pecah amanah, salah guna wang sumbangan dan pengubahan wang haram ke Mahkamah Tinggi akan didengar pada 25 November ini.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, tarikh itu ditetapkan hari ini semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas.

“Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan di mahkamah terbuka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 19 Ogos, bekas Menteri Belia dan Sukan itu memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan alasan terdapat isu perlembahaan yang akan dibangkitkan dalam kes tersebut dan lebih wajar untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Dalam notis permohonan yang difailkan menerusi Tetuan Haijan Omar & Co, Syed Saddiq, 29, turut memohon agar semua prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan tersebut.


Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Syed Saddiq ketika itu yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana tersebut dengan membuat pengeluaran wang sebanyak RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad tanpa kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 di bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut menghadapi pertuduhan mengalahgunakan harta iaitu wang sumbangan bagi kempen PRU-14 sebanyak 120,000 yang dikuti melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Manakala pada 5 Ogos di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling di sini pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here