[VIDEO] PH: Pemimpin komited, ahli bertelagah

0
319

KETIKA para pemimpin Pakatan Harapan (PH) komited untuk memperkukuhkan gabungan itu, suara-suara akar umbi parti di dalam gabungan itu menunjukkan perbezaan.

Perbalahan jelas kelihatan, dan gesaan supaya gabungan tersebut memikir semula nakhoda baharu semakin kedengaran.

Jika sebelum ini wakil DAP, Tony Pua dan Ong Kian Ming terang-terangan mempersoalkan langkah politik PH sebelum ini, kini beberapa pemimpin Amanah dan PKR secara terbuka menunjukkan pertelagahan berhubung hala tuju parti masing-masing.

Ketua Amanah Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib semalam mengeluarkan kenyataan mendesak kepimpinan partinya mewujudkan PH Plus serta menukar ketua pembangkang yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Asri berkata, ramai lagi calon boleh diketengahkan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atau mereka yang dipersetujui dalam PH Plus.

Bagaimanapun kenyataan tersebut disanggah, aktivis PKR Sarawak Iswardy Morni yang mendakwa Amanah tidak sedar diri sedangkan parti itu sendiri sudah hampir lumpuh di Sarawak.

“Amanah di Sarawak hampir lumpuh. Kalau Sarawak pun tak boleh nak jaga, tak perlu komen lebih-lebih tentang sama ada Anwar boleh bawa majoriti ke tidak atau patut bawa ketua pembangkang baru atau tidak.” katanya seperti dilaporkan portal MalaysiaNow.

Rentetan perbalahan tersebut, Pengarah Pilihanraya Pemuda PKR, Fahmi Zainol secara terbuka mencadangkan supaya partinya bergerak solo selepas ini.

“Bergerak solo bukan bermakna lawan antara parti pembangkang. Cuma kita bukanlah berada dalam bentuk gabungan. Kita masih berkawan, kita masih lawan musuh yang nyata.” cadang Fahmi menerusi satu ciapan di akaun Twitternya.

Perbalahan ini sebenarnya manifestasi kekecewaan akar umbi atas kegagalan pemimpin mereka mengumpul sokongan bagi membentuk kerajaan, meskipun selama ini telah disogokkan dengan jaminan sudah memiliki angka mencukupi oleh pemimpin mereka.

Ibarat terus berputih mata, mereka melihat Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik Perdana Menteri kesembilan, meskipun pemimpin mereka sebelum ini telah melakukan pelbagai gerakan dan usaha menjatuhkan kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin, malah jika ditelusuri sejarah gerakan seumpama itu sudah bermula sejak 2008 lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here