[VIDEO] Gencatan politik dua hala perlu dalam kalangan ahli politik dan rakyat – Penganalisis

0
506

POLITIK negara memerlukan satu gencatan politik dua hala dalam kalangan ahli-ahli politik dan juga rakyat khususnya pengguna-pengguna media sosial bagi menumpukan fokus kepada kepentingan rakyat dan juga negara.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, gencatan politik ini perlu terbahagi kepada dua perkara utama agar semak dan imbang dapat diperlihatkan dengan lebih jelas.

Katanya, perkara pertama adalah dengan mengadakan gencatan politik dalam kalangan ahli politik bagi membenarkan tumpuan yang wajar dapat diberikan sepenuhnya untuk memerangi COVID-19.

Namun, menurut beliau, perkara ini perlu diperhalusi dan diberikan satu penekanan utama dimana segala perkara seteru, berkepentingan politik, khususnya kecenderungan politik yang melampau harus dihentikan oleh ahli-ahli politik dalam tempoh sehingga negara mencapai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kita mahu ahli-ahli politik memfokuskan sepenuhnya kepada program-program berkepentingan rakyat khususnya di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) sepertimana yang telah diusahakan oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin.

“Jadi, gencatan politik dalam kalangan ahli parlimen diperlukan kerana jelas rakyat mahu ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri memfokuskan kepentingan rakyat sepenuhnya.

“Mungkin satu jawatankuasa khas Parlimen dan jawatankuasa DUN yang boleh dibentuk di Dewan Rakyat serta DUN untuk memastikan isu-isu berkepentingan rakyat diselesaikan secara mikro,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, perkara mikro seperti isu rakyat yang terkesan dengan kematian ahli keluarga akibat wabak ini atau isu rakyat kehilangan pekerjaan dan sebagainya memerlukan kerjasama ahli-ahli politik untuk diselesaikan.

Mengulas lanjut, perkara utama yang kedua adalah dengan mengadakan gencatan politik dalam kalangan penyokong-penyokong dan juga orang ramai di luar sana khususnya pengguna media sosial yang berkecendurangan ke arah parti politik tertentu.

Beliau berpandangan bahawa golongan ini seharusnya menghentikan apa-apa jenis status atau ciapan negatif yang berkepentingan politik yang boleh menggugat fokus kepada kepentingan rakyat dalam Pelan Pemulihan Negara.

“Apa yang diperlukan adalah cadangan-cadangan ‘solution-based’, iaitu memberikan komen atau pandangan berhubung apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat.

“Suarakan apa yang dikehendaki berbentuk mikro supaya kerajaan, Majlis Pemulihan Negara, Jawatankuasa Parlimen dan DUN boleh ambil tindakan,” tambahnya.

Katanya, sekiranya gencatan politik diadakan di dua lapisan ini, sekurang-kurangnya ia dapat membuatkan semua pihak berasa aman sehingga menjelangnya PRU-15 kelak sekaligus dapat memfokuskan apa yang boleh dilakukan untuk kebaikan negara.

“Kita tidak mahu selepas pelantikan Perdana Menteri kesembilan, isu-isu berkpentingan politik terus meracuni pemikiran masyarakat dan terus digunakan untuk menghilangkan fokus kita memerangi wabak COVID-19.

“Jadi sehingga negara pulih, ahli politik dan rakyat harus terus bersama untuk memastikan kemelut kesihatan ketika ini dapat diselesaikan dengan lebih mikro dan mampan.

“Jelas, masyarakat mual dan jelak dengan ahli politik yang bertelagah serta komen-komen atau ciapan yang berkepentingan politik yang tidak berhenti semenjak PRU ke-14 yang lepas,” katanya. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here