‘Hentikan ‘kegilaan’ ini! Hormati Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri’

Benar! Ismail Sabri mendapat sokongan 114 ahli Parlimen termasuk 37 ahli Parlimen UMNO, tetapi itu bukan bermaksud beliau harus menjadi ‘budak suruhan’ kepada parti tersebut.

0
302

APABILA Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab untuk memberi khidmat kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik, agama mahupun kaum.

Benar! beliau berada pada kedudukan itu selepas mendapat sokongan 114 ahli Parlimen termasuk 37 ahli Parlimen UMNO, tetapi itu bukan bermaksud beliau harus menjadi ‘budak suruhan’ kepada parti tersebut.

Adalah memualkan apabila mendengar pelbagai cerita dan bagaimana ‘layanan’ yang terpaksa dilalui oleh Ahli Parlimen Bera itu apabila beliau sah menjadi Perdana Menteri. Beliau seolah-olah ‘dipaksa’ ke sana ke sini untuk berjumpa dengan pemimpin UMNO.

Malah ada yang datang ‘memberi syarahan’ kepada beliau seolah-olah Ismail Sabri perlu mendengar apa sahaja kata atau arahan pemimpin-pemimpin UMNO. Itu belum lagi mengambil kira bagaimana ada dalam kalangan pemimpin UMNO yang menuntut jawatan itu dan ini termasuk menteri penuh dalam Kabinet.

Lebih aneh, beberapa pemimpin yang sebelum ini mengecam Ismail Sabri sebagai pengkhianat kerana terus mempertahankan prinsip beliau untuk bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun parti telah menarik sokongan ‘terhegeh-hegeh’ dan tanpa rasa malu turut berharap diberi jawatan oleh Naib Presiden UMNO itu.

Penulis benar-benar tidak faham dengan perangai segelintir pemimpin UMNO yang terus jadi ‘tak tentu hala’ bila ada pemimpin mereka sudah menjadi Perdana Menteri. Bagi mereka, inilah waktu terbaik untuk membuat tuntutan ‘minta budi dibalas’ kerana menyokong beliau.

Tolonglah hentikan ‘kegilaan’ ini! Hormatilah Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Beliau perlu diberi ketenangan dan kebebasan untuk menguruskan negara dengan cara tersendiri, bukannya terpaksa tidur tidak lena akibat kerenah pemimpin-pemimpin UMNO.

Kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri wajib dihormati, kalau ada pemimpin mahu berjumpa dengan beliau tidak kira bertaraf Presiden parti atau bekas Perdana Menteri sekalipun, mereka yang harus membuat kunjungan ke atas Ismail Sabri, bukannya meminta beliau berjumpa dengan mereka.

Institusi Perdana Menteri tidak harus dicemari dengan perangai buruk segelintir pemimpin UMNO. Perlu dinyatakan bukan semua bersikap begitu, justeru janganlah ganggu Ismail Sabri.

Apabila parti membuat keputusan menyokong beliau, ia adalah atas dasar demi kepentingan rakyat dan negara bukannya atas kepentingan mana-mana pemimpin.

Tidak payahlah awal-awal lagi mahu membangkitkan apa nama yang mahu digunakan bagi kerajaan yang dibentuk! Semua itu tidak penting!

Sebelum ini segelintir pemimpin UMNO begitu hebat ‘menyerang’ Kerajaan PN. Pelbagai hujah mereka lontarkan termasuklah UMNO sepatutnya mengetuai kerajaan tetapi sekarang apabila Ismail Sabri sudah menjadi Perdana Menteri, perangai buruk mereka tidak juga berubah-ubah.

Cukup-cukuplah! Sedarlah diri sikit, UMNO bukannya parti yang disukai oleh rakyat. Kalau UMNO hebat sangat, sudah pasti parti itu tidak kalah dalam PRU-14.

Simpatilah kepada Ismail Sabri yang terpaksa menerima kecaman dan kritikan malah ada ke tahap menghina apabila beliau diumumkan sebagai Perdana Menteri.

Semua itu bukan disebabkan oleh ‘dosa-dosa’ yang beliau lakukan tetapi disebabkan beliau mewakili parti yang dianggap mempunyai masalah integriti – Kalau tidak percaya bacalah laporan-laporan media luar negara berhubung pelantikan beliau.

Sepatutnya apabila Ismail Sabri telah menjadi Perdana Menteri, beliau harus diberi peluang untuk menaikkan imej UMNO, bukannya diganggu dengan kehendak nafsu politik segelintir pemimpin parti itu.

Janganlah menyusahkan Ismail Sabri untuk melaksanakan tugas beliau sebagai Perdana Menteri, hormati kedudukan dan prerogatif beliau. Kalau Ismail Sabri berjaya yang akan turut mendapat nama ialah UMNO.

Tetapi kalau perangai buruk segelintir pemimpin UMNO tidak berubah walaupun sudah tersungkur dalam PRU lalu, macam mana Ismail Sabri mahu melaksanakan tugasnya! Kalau itu berlaku memang layaklah kalau parti itu terus ditolak dalam pilihan raya umum akan datang….Fahamlah sikit…

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Penganalisis politik

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here