Hassan sedih Anwar masih gagal jadi PM

0
239

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim sedih dan hiba apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih gagal menjawat jawatan Perdana Menteri sehingga kini.

Belia pasti perasaan tersebut dirasai dan dikongsi ribuan rakyat yang menjadi penyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

“Tetapi perjalanan masa merawat kesedihan dan hiba. Kehidupan perlu diteruskan, perjuangan mesti bangkit semula setiap kali menempuh kekalahan dan kegagalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan Isnin lalu.

Keputusan itu ditetapkan Agong selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 ahli Dewan Rakyat dan beliau bakal mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri kesembilan semalam.

Hassan berkata, secara peribadi persaingan Anwar dan Ismail Sabri dalam pemilihan Perdana Menteri kesembilan amat personal bagi dirinya.

Katannya, ini kerana kedua-dua calon Perdana Menteri itu rakan baiknya dan keadaan tersebut membuatkannya sukar membuat pilihan.

Apatah lagi katanyanya, Ismail Sabri adalah bekas anak muridnya ketika Tingkatan Enam.

“Bukan itu sahaja, beliau adalah kawan duduk serumah ketika seorang mahasiswa dan saya seorang guru kolej swasta di Kuala Lumpur. Saya rapat dengan keluarga Ismail Sabri.

“Jadi pada hari Selasa 17 Ogos lalu saya terpaksa memilih antara Anwar Ibrahim, pemimpin saya dan Ismail Sabri, calon Perdana Menteri parti lawan saya.

“Saya tidak teragak-agak telah memilih Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kesembilan kerana saya percaya beliau boleh memberi kepimpinan untuk selamatkan Malaysia dan rakyatnya dalam melawan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau memilih Anwar juga kerana percaya dapat membawa negara keluar daripada kemunduran ekonomi, membina negara yang demokratik dan adil untuk seluruh rakyat dari pelbagai kaum dan agama.

“Sebagai seorang sahabat, bekas guru dan rakan serumah, saya telah mengirim ucapan tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here