4 ADUN tidak dibenarkan ikuti sidang DUN akibat Covid-19

0
370

Oleh RAHIMI MOHAMAD

SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang disahkan positif Covid-19 tidak dibenarkan mengikuti sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bersambung semula, hari ini.

ADUN Tenggaroh, K. Raven Kumar disahkan positif ketika menjalani ujian saringan pada Khamis lalu, manakala tiga lagi wakil rakyat turut tidak dibenarkan.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, tiga lagi wakil rakyat yang terlibat ialah ADUN Johor Lama, Rosleili Jahari; ADUN Tangkak, Ee Chin Li dan ADUN Senai, Tee Boon Tsong.

“Rosleili ketika ujian RTK-Antigen pagi tadi positif, jadi beliau diuji kembali di Hospital Sultanah Aminah (HSA), tetapi keputusannya adalah negatif. Boon Tsong pula batuk ketika datang jadi kita tidak mahu ambil risiko dan minta dia balik.

“Kedua-dua mereka dibenarkan menyertai hari terakhir sidang pada Rabu ini jika keadaan mengizinkan manakala Chin Li pula perlu menjalani kuarantin lebih lama dan tidak dapat menyertai sesi persidangan kali ini kerana menjadi kontak rapat,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, kesemua 56 ADUN, petugas dewan dan media perlu menjalani ujian calitan RTK-Antigen setiap hari ketika menghadiri Sidang DUN bermula 22 hingga 25 Ogos sebagai langkah berjaga-jaga bagi menangani pandemik Covid-19.

Sementara itu, Suhaizan berkata, hanya dua ahli dewan yang tidak hadir pada persidangan hari ini namun sudah memaklumkan ketidak hadiran mereka lebih awal sebelum sesi disambung kembali.

“Dua ahli dewan berkenaan ialah ADUN Gambir, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas Perdana Menteri dan ADUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Pulai,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here