Komplot ganggu proses perlantikan PM ke-9?

Pembangkang tersentap, desak wujudkan kerajaan perpaduan selepas gagal raih majoriti sokongan

0
350

DAKWAAN beberapa pihak termasuk mantan Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan dan Naib Presiden AMANAH, Mahfuz Omar yang mempertikai sokongan bersyarat Perikatan Nasional (PN) terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku calon Perdana Menteri kesembilan, bersifat putar-belit dan hasutan.

Ketika membidas tindakan itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, mereka mendakwa kononnya sokongan 50 ahli parlimen PN bagaikan tidak menepati kehendak Istana Negara yang mahukan sokongan tanpa syarat terhadap calon Perdana Menteri (PM).

Sedangkan, katanya apa yang mereka tidak perincikan ialah arahan Istana Negara itu ternyata untuk individu iaitu ahli-ahli parlimen ketika mengisi surat akuan bertulis kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukannya ditujukan terhadap pendirian kumpulan politik tertentu.

“Istana Negara juga terikat dengan Perlembagaan Persekutuan yang tidak menghalang mana-mana kelompok untuk menetapkan apa-apa syarat untuk menyokong mana-mana individu sebagai PM.

“Bezanya, sama ada syarat itu diumumkan atau tidak saja. Dan syarat pula tidak semestinya berupa ugutan. Memadai sekadar menekankan prinsip serta nasihat.

“Saya mahu tanya Ambiga dan Mahfuz, di manakah salahnya isi kandungan syarat PN terhadap Datuk Seri Ismail Sabri itu?. Apakah meminta bakal PM supaya memilih individu yang berintegriti menyertai kabinet itu salah?.

“Adakah menyeru prinsip Raja Berperlembagaan itu tidak betul?. Yang pasti, tiada pun ayat berbaur ugutan terhadap tuan punya badan. Kenapa pula Ambiga dan Mahfuz yang “sentap”?,” katanya di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Mengulas mengenai cadangan sesetengah pihak supaya membentuk kerajaan perpaduan atau kabinet perang, Dr Muhammad Faiz berkata, walaupun perkara itu tidak menyalahi undang-undang, tetapi konsepnya tidak ditulis secara terperinci di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baginya, ini kerana hanya prerogatif Perdana Menteri saja yang berhak menentukan jenis kerajaan atau kabinet yang mahu dibentuk, selagi negara ini tidak berada di bawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dan parlimen pula masih boleh berfungsi.

“Alasan kononnya kerajaan perpaduan atau kabinet perang itu diperlukan demi kestabilan politik hanyalah retorik puak yang sebenarnya menjadi punca riuh rendah suhu politik negara ini terutama di parlimen dan media.

“Mereka yang berkomplot untuk menggoyang dan menjatuhkan kerajaan, tetapi mereka yang sama juga acah-acah mahu penyatuan setelah menghidu peluang untuk ke Putrajaya,” katanya.

Secara sinis, katanya jika mereka benar-benar mahu membantu pemulihan negara daripada masalah wabak Covid-19 dan kesan ekonomi darinya, kenapa mereka tidak memainkan peranan selaku wakil rakyat serta pembangkang yang membina?.

Sedangkan, katanya, golongan inilah yang menghentam semua usaha kerajaan di Parlimen dan di platform media.

“Tetapi dalam waktu yang sama, simpan pula niat untuk menyertai kerajaan PN atas nama kerajaan perpaduan. Ini opportunis dan munafik namanya,” katanya.

Berdasarkan senario itu, Muhammad Faiz yakin seolah-olah wujud suatu komplot yang senada antara pembangkang (terutama Pakatan Harapan) dengan beberapa NGO dan penganalis politik anti PN serta kelompok Kluster Mahkamah untuk memberi tekanan kepada Ismail Sabri dan Istana Negara.

Katanya, tekanan itu bertujuan supaya Perdana Menteri kesembilan nanti terpaksa akur untuk menerima konsep kerajaan perpaduan, iaitu tiada lagi pembangkang untuk proses semak imbang di Parlimen.

“Apakah mereka mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim diselitkan menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia?,” soalnya sinis. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here