Peluang terakhir bentuk kerajaan Melayu-Islam ada di tangan UMNO

0
321

ESOK hari yang penting untuk Malaysia. Ia akan menentukan siapakah kerajaan baharu dan siapakah pula Perdana Menteri yang baharu.

Surat akuan sokongan oleh 220 ahli Parlimen akan menjadi penentu sama ada krisis politik akan berakhir atau terus bergelut dengan perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.

Dan hari ini, kita menyaksikan bagaimana dahsyatnya ‘perang saraf’ pertarungan mencari angka dalam kalangan parti-parti politik.

Tumpuan diberikan kepada UMNO yang dilihat berpeluang cerah meletakkan calon mereka, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri memandangkan Ahli Parlimen Bera itu telah mendapat sokongan daripada parti-parti yang pernah berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Namun Ismail Sabri terpaksa berhadapan dengan ‘kerenah’ parti sendiri apabila ada ahli Parlimen UMNO tidak mahu memberi sokongan atas sebab-sebab hanya mereka ketahui.

Ramai yang pelik.

Mereka tertanya-tanya kenapa boleh jadi begitu. Ketika PH bergelut mencari angka, UMNO pula angka ada di depan mata bagaikan ‘mahu ditolak’.

Bagaimanapun kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melalui Facebook beliau melegakan banyak pihak. Beliau memberi isyarat bahawa sudah ada kesepakatan dalam kalangan semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO untuk memberi sokongan padu kepada seorang calon daripada UMNO.

Jika semua berjalan lancar bermakna Ismail Sabri mempunyai peluang cerah menjadi Perdana Menteri Ke-9 dan sekaligus mewujudkan kembali sebuah kerajaan Melayu-Islam yang ditunjangi oleh UMNO.

Namun begitu segala berkemungkinan sehingga pukul 4 petang esok sebelum tempoh menyerahkan surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong ditutup. Atas sebab itulah kesemua ahli-ahli Parlimen UMNO perlu istiqamah untuk menyokong Ismail Sabri.

Jangan ada  sesiapa yang mahu bermain politik, apatah lagi melakukan ‘pengkhianatan’ selepas membuat akujanji memberi sokongan kepada beliau. Kata perlu dikota, bukan didusta, janji perlu ditepati bukan dimungkiri’ kerana kelompok munafik sahaja yang ‘bercakap lain buat lain dan memungkiri janji’.

Ini peluang untuk UMNO, ini peluang untuk memperkasa kembali kuasa politik Melayu. Maka jangan dimusnahkan peluang itu disebabkan sebarang tindakan yang boleh dianggap ‘satu pengkhianatan’.

Penulis percaya semua ahli Parlimen UMNO memahami amanah dan harapan yang ada di bahu mereka apabila menandatangani surat akuan memilih calon Perdana Menteri esok. Dan penulis juga percaya mereka akan berpegang kepada janji dan kesepakatan seperti mana dikatakan oleh Annuar.

Semoga esok, segala kemelut akan berakhir. Semoga esok, rakyat akan menyaksikan kali terakhir adegan politik yang sudah cukup memualkan. Kepada ahli-ahli Parlimen UMNO, jangan biar harapan ini lebur kerana surat akuan yang ditandatangani adalah penentu kepada nasib bangsa, agama dan negara.

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Penganalisis politik dan bekas Pengarang Utusan Malaysia

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here