[VIDEO] Bencana kepala air Gunung Jerai akibatkan banyak kerosakan

0
611

LEBIH 10 kampung di kaki Gunung Jerai dan taman-taman perumahan di sekitar bandar Yan, Gurun dan Merbok dilanda banjir kilat akibat fenomena kepala air yang berlaku kira-kira jam 3 petang tadi.

Pengerusi Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan (Rekey), Mohammad Firdaus Mohmad, 36, yang tinggal di kawasan itu, berkata kejadian berlaku dengan pantas dan tidak dijangka.

Dari pagi hujan lebat di atas Gunung Jerai, namun di bawah ini hujan tidak begitu lebat.

“Secara tiba-tiba, dalam pukul 3 petang, kepala air berlaku di kawasan air terjun termasuk di Pusat Peranginan Seri Perigi. Air sangat kuat dan deras, sehingga merosakkan kawasan itu.

ANTARA kerosakan akibat bencana kepala air Gunung Jerai. – Foto MEDIA SOSIAL

“Kampung yang berada di kaki Gunung Jerai juga dinaiki air. Paling teruk yang berdekatan sungai. Malah pekan Yan turut dilanda banjir. Ini kerana lokasinya yang terletak di tepi laut.

ANTARA kerosakan akibat bencana kepala air Gunung Jerai. – Foto MEDIA SOSIAL

“Paras air laut pula kebetulan ketika ini agak tinggi atau digelar air mati. Jadi ia menyebabkan banjir lambat surut,” katanya kepada Astro Awani.

ANTARA kerosakan akibat bencana kepala air Gunung Jerai. – Foto MEDIA SOSIAL

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah berkata, mereka menerima banyak laporan dan sedang menjalankan operasi.

Katanya, kejadian yang berlaku sekitar 4 petang itu turut menyebabkan limpahan air deras ke kawasan kediaman, sehingga menyebabkan kerosakan jalan raya dan kediaman.

“Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Negeri Kedah menerima panggilan dari Sistem MERS 999 banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan sekitar Gunung Jerai. PGO Kedah menggerakkan anggota dari tiga balai berhampiran ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan pada laporan awal telah berlaku satu kejadian tanah runtuh di Kilometer 8, Gunung Jerai serta dua lagi kejadian banjir kilat di sekitar kawasan Yan, yang melibatkan beberapa buah perkampungan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, banjir turut menjejaskan beberapa kawasan di sekitar Merbok, Sungai Petani.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here