[VIDEO] Calon PM: Ismail Sabri dapat sokongan penuh PN, BN

0
352

TANDA tanya tentang siapa yang bakal menjawat jawatan nombor satu negara kini semakin jelas apabila parti-parti utama menyatakan persetujuan menyokong Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri baharu.

Ismail Sabri yang dilantik Timbalan Perdana Menteri dibawah kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini tidak menghadapi masalah mendapat sokongan penuh blok PN yang diterajui Bersatu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti itu hanya menghantar satu nama calon Perdana Menteri (PM) untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Meskipun, tidak menyatakan dengan jelas nama calon tersebut, namun berdasarkan perkembangan semasa jelas menunjukkan Ismail Sabri adalah pilihan pertama.

Malah penerimaan baik blok PN dapat disaksikan apabila PAS tanpa berselindung menyatakan menamakan Ismail Sabri sebagai calon pilihan utama mereka.

Kebimbangan awal akan berlaku penentangan daripada UMNO juga meleset apabila parti itu sebulat suara memilih Ismail Sabri sebagai satu-satunya calon pilihan mereka.

Ini sekali gus menamatkan spekulasi UMNO akan mencalonkan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dengan sokongan UMNO, Ismail Sabri hanya memerlukan persetujuan di peringkat Barisan Nasional (BN) dan tugas itu menjadi mudah susulan keputusan UMNO yang kemudiannya diikuti BN.

Dengan perkembangan ini, Ismail Sabri kini dikatakan memiliki sekurang-kurangnya sokongan majoriti mudah 111 daripada Ahli Parlimen bagi menubuhkan kerajaan baharu.

Ketika ini Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi kerana dua kerusi lagi masih kosong berikutan kematian penyandangnya

Semua ahli Parlimen diberikan tempoh masa sehingga pukul 4 hari ini menyerahkan surat akuan mengandungi calon pilihan masing-masing ke Istana Negara.

Pemilihan Perdana Menteri baharu diadakan susulan peletakkan jawatan penyandangnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas 15 ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here