Kabinet PN hanya fikir cara selamatkan rakyat, bukan politik- Muhyiddin

0
243

JATUHNYA kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah disebabkan oleh Ahli Parlimen UMNO yang memikirkan politik berbanding menyelamatkan rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini dilantik Perdana Menteri sementara.

Muhyiddin menegaskan bahawa beliau dan menteri dalam Kabinetnya sebelum ini hanya memfokuskan kepada pengurusan pandemik COVID-19, dan bukannya politik.

“Saya terpaksa letak jawatan sebab Ahli Parlimen tertentu khususnya UMNO menarik sokongan kepada saya. Bukan saya nak menidakkan (hak) mereka sebagai Ahli Parlimen, tetapi ini soal politik.

“Kalau mereka fikirkan nasib rakyat, dalam keadaan susah. Ramai orang terkesan dan susah sehingga menjadi miskin.

“Banyak orang kata, ini bukan masa berpolitik, lebih baik tumpu kepada soal menyelamatkan rakyat. Dan (mereka kata), jangan berpolitik, kami sudah muak,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Beliau menambah, kerajaan PN tidak akan tumbang sekiranya pemimpin terbabit memberikan sepenuh perhatian kepada usaha menyelamatkan rakyat.

“Kalau mereka ambil kira yang itu, mungkin mereka tidak akan bertindak sebegini. Sekarang, apabila saya tidak ada, lepas ini akan diganti, harapnya segera.

“Tetapi, kalau ambil masa, fahamlah macam mana hendak menguruskan pengurusan tadi,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata, beliau dan barisan Kabinetnya tidak pernah mengambil cuti sejak hari pertama kerajaan PN terbentuk untuk menyelesaikan kemelut kesihatan yang dihadapi negara ini ekoran penyebaran wabak COVID-19.

Malah, beliau sering dipanggil untuk bekerja walaupun waktu rehat.

“Sebagai Perdana Menteri, sejak hari pertama sehingga hari ini, setiap malam kami berbincang, macam mana nak buat (urus COVID).

“Setiap hari kita baca data, bukan macam urusan biasa yang boleh tunggu. Ini tidak boleh tunggu. Sebab itu saya tidak ambil cuti mana-mana pun.

“Tiada menteri kabinet saya yang ambil cuti. Kalau berehat pun, sekejap, tetapi tetap akan on call, macam doktor.

“Saya pun selalu on call. Adham Baba, Khairy Jamaluddin, Hamzah Zainuddin semua pun on call. Topiknya adalah COVID-19,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here