Hormati kuasa Agong isu peletakan, pelantikan jawatan PM

0
255

SEKALI lagi institusi beraja menjadi perhatian umum apabila Yang di-Pertuan Agong memperkenan peletakan jawatan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Perkenan Yang di-Pertuan Agong ini adalah kerana sudah diakui Perdana Menteri bahawa beliau sudah tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Keadaan ini bertepatan dengan perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri apabila beliau sudah hilang kepercayaan majoriti.

Peletakan jawatan Jemaah Menteri ini adalah juga berkaitan dengan prinsip kebertanggungjawaban bersama (collection responsibility) ahli Jemaah Menteri seperti mana dinyatakan dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan kepada kenyataan media dikeluarkan Istana Negara, adalah juga dinyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah dilantik sebagai Perdana Menteri sementara. Pelantikan ini dibuat menurut Perkara 40(2)(a) yang memperuntukkan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam melantik seorang Perdana Menteri.

Perkara 40(2)(a) ini dibaca secara bersama dengan Perkara 43(2)(a) yang menyatakan pelantikan Perdana Menteri bagi mempengerusikan Jemaah Menteri. Perkara 43(2)(a) juga meletakkan persyaratan kepada calon diperkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri, iaitu seorang ahli Dewan Rakyat (bukan Dewan Negara) dan seorang yang pada hemat baginda bahawa mungkin mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Kedua-dua peruntukan ini dibaca secara bersama adalah menjadi punca kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Perdana Menteri sama ada bagi tujuan lantikan selepas pilihan raya atau pertukaran kerajaan seperti berlaku semalam atau sebelum ini pada penghujung Februari tahun lalu.

Perkara baharu yang didapati dalam kenyataan media dikeluarkan Istana Negara semalam adalah mengenai pelantikan Muhyiddin sebagai ‘caretaker Perdana Menteri’ atau Perdana Menteri sementara.
Istilah caretaker ini bukan istilah baharu dalam sistem demokrasi.

Cuma di negara ini, ia tidak digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun begitu ia bukanlah suatu perkara pelik.

Dalam amalan negara kita sebelum ini, tanpa menggunakan istilah caretaker, kita fahami sebagai kerajaan sementara. Ia adalah kerajaan dilantik apabila Parlimen terbubar. Dengan penggunaan istilah caretaker, ia bermaksud merujuk kepada fungsi terhad atau kuasa terbatas.

Namun, apabila istilah caretaker digunakan dalam konteks ini, ia adalah disebut dengan maksud tempoh terhad, iaitu sehingga Jemaah Menteri baharu dilantik.

Jemaah Menteri baharu ini bermaksud Jemaah Menteri di bawah pimpinan Perdana Menteri yang baharu dilantik.

Tidak diperjelaskan mengenai kuasa atau fungsi ‘caretaker Perdana Menteri’ itu. Ia mungkin diniatkan sebagai mempunyai kuasa dan fungsi terhad seperti sebuah kerajaan dilantik semasa keadaan Parlimen terbubar.

Mungkin bagi memastikan apakah ruang lingkup kuasa atau tugas Perdana Menteri ini, kita perlu melihat nanti kepada warta pelantikan ‘caretaker Perdana Menteri’ ini. Setiap pelantikan akan disiarkan dalam suatu warta yang kemudian akan diperjelas dalam Akta Fungsi Menteri, iaitu suatu akta yang membuat perincian mengenai apakah fungsi setiap menteri.

Perkara lain yang menjadi tanda tanya ialah, adakah ‘caretaker Perdana Menteri’ ini boleh melantik Jemaah Menteri. Pada asasnya, ia tidak dinyatakan secara jelas.

Namun, adalah diandaikan pelantikan Perdana Menteri sementara ini tidak disebut bersama dalam kenyataan media istana dan juga perutusan YAB Perdana Menteri mengenai pelantikan Jemaah Menteri.

Sebagai makluman, menteri adalah dilantik Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 43(2)(b). Lantikan dibuat Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Walaupun begitu, kenyataan media Istana Negara tidak menyebut Perkara 43(2)(b). Dari sini, dianggap sebagai pelantikan ‘caretaker Perdana Menteri’ adalah berhasrat untuk hanya melantik Perdana Menteri dan bukan untuk tujuan pelantikan Jemaah Menteri sepenuhnya.

Tugasan ‘caretaker Perdana Menteri’ boleh dibereskan oleh penjawat awam. Walau apapun, ia adalah juga bergantung kepada pewartaan pelantikan dan tugasan Perdana Menteri sementara.

Menurut Perkara 43(4), terdapat juga persoalan mengenai permintaan bagi pembubaran Parlimen (Dewan Rakyat). Sudah nyata kini bahawa tiada pembubaran Parlimen, sekali gus tiada pilihan raya umum (PRU) akan diadakan.

Satu perkara lain yang penting untuk difahami, pelaksanaan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam isu peletakan jawatan dan pelantikan Perdana Menteri menunjukkan suatu perjalanan kuasa Raja berperlembagaan yang berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah dihormati semua.

Dalam konteks semasa, selesai satu episod politik tanah air yang berlakunya peletakan jawatan dan pelantikan Perdana Menteri sementara ini.

Namun, persoalan perundangan masih belum tamat dalam konteks pelantikan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri baharu.

Malah, ia mungkin memerlukan kefahaman dalam proses melantik Perdana Menteri. Isu berkaitan siapa mempunyai kepercayaan majoriti akan terus menjadi perhatian undang-undang dan drama politik.

Apa yang penting untuk kita semua beri perhatian dalam konteks undang-undang ialah semua perkara harus diangkat atau dilakukan menurut prinsip ketinggian Perlembagaan serta penafsirannya yang boleh menjamin kemaslahatan atau kepentingan rakyat.

Penulis adalah Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Segala pendapat adalah pandangan peribadi penulis dan bukan mewakili pandangan SatuBerita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here