Dapatkan 111 sokongan dahulu, baru kami sokong’ – syarat Warisan kepada Anwar

0
575

AHLI Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman menegaskan, parti Warisan akan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) jika beliau mampu meraih sokongan minimum 111 Ahli Parlimen.

“Warisan akan menyokong DSAI (Anwar) menjadi PM jika beliau melepasi ‘angka ajaib’ dan berharap Pakatan Harapan (PH) juga memberi hak penolakan pertama kepada (Datuk Seri) Shafie Apdal (Presiden Warisan) jika DSAI tidak melepasi angka ajaib,” katanya.

Memetik laporan FMT, Aziz berkata demikian ketika menjawab soalan warganet di Twitter, sambil memaklumkan “minimum 111 daripada 220 Ahli Parlimen. Sehingga hari ini, pembangkang mempunyai 105 Ahli Parlimen, jadi kita kekurangan 7 lagi Ahli Parlimen”.

Berbalik kepada soalan seterusnya mengenai bagaimana timbulnya hak penolakan pertama jika hanya seorang calon dibenar dinamakan dalam akuan berkanun (SD), Azis berkata, Shafie dan Anwar perlu bertemu dulu bagi membincangkan perkara itu.

“Dua pemimpin perlu bersemuka dan mendedahkan perancangan masing-masing sebelum menghantar nama ke Istana.

“Sesiapa yang mendapat sokongan tertinggi perlu diberi peluang menulis nama dalam SD…atau anda mempunyai idea lain,” katanya.

Awal hari ini, sumber memaklumkan FMT, ada kemungkinan pelantikan perdana menteri interim, namun tanpa pembentukan Kabinet, bagi menyelesaikan kemelut politik. Ini susulan tiada parti atau Ahli Parlimen mempunyai sokongan majoriti.

Sumber berkata, wujud dua kumpulan dalam perlumbaan pelantikan PM selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, iaitu satu kumpulan diterajui Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kumpulan kedua daripada blok pembangkang.

Sumber berkata, sebahagian besar Ahli Parlimen Bersatu menyokong Ismail, dengan kesepakatan sama seperti pentadbiran kerajaan terdahulu.

Bagi pembangkang pula, sumber berkata calon utama adalah Anwar dan Shafie.

“Pembangkang mempunyai sokongan 105 Ahli Parlimen. Saya dimaklumkan sesiapa daripada Anwar dan Shafie melepasi angka (sokongan 111 Ahli Parlimen) akan dinamakan sebagai calon PM,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here