Bentuk kerajaan inklusif, tangani pelbagai krisis negara

0
280

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mencadangkan Perdana Menteri baharu membentuk sebuah kerajaan inklusif dibentuk melibatkan pelbagai parti politik atau gabungan mempunyai sokongan majoriti yang selesa di Dewan Rakyat.

Timbalan Ikram, Badlishah Sham Baharin dan perunding polisi awam, Mohammad Abdul Hamid dalam satu kenyataan bersama-sama berkata, langkah itu perlu bagi menjamin kestabilan politik ketika keutamaan semasa adalah untuk menangani pelbagai krisis yang melanda negara.

Kata mereka, pemimpin dalam kalangan yang terbaik perlu diberi peluang untuk dilantik dalam Kabinet dan membawa negara ke arah pemulihan yang amat diperlukan oleh rakyat dan negara.

“Hal ini menuntut pimpinan tertinggi khususnya Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) agar berjiwa besar dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik, apatah lagi kepentingan peribadi.

“Untuk membebaskan negara daripada krisis yang melanda, kerajaan yang bakal dibentuk sudah tentu memerlukan gabungan mantap dan terbaik daripada kalangan teknokrat, profesional, pakar dan wakil pertubuhan masyarakat madani,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Jelas kenyataan berkenaan, negara kini berada pada satu persimpangan yang sangat kritikal.

Justeru, kata mereka lagi, pilihan yang tepat harus dilakukan dalam memilih anggota kabinet dan bukan sekadar berdasarkan keahlian parti tetapi berdasarkan kompetensi, kemampuan dan integriti.

Menurut mereka, amat malang bagi rakyat dan negara sekiranya pemimpin yang terpalit dengan skandal rasuah atau kes di mahkamah dilantik menjadi anggota kabinet.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here