Ahli Parlimen diminta kemuka nama calon PM pilihan mereka ke Istana Negara

Semua Ahli Parlimen diberikan masa sehingga pukul 4 petang, esok, Rabu 18 Ogos 2021

0
281

SEMUA ahli Dewan Rakyat telah diarahkan untuk menamakan calon Perdana Menteri pilihan mereka menerusi surat akuan kepada Istana Negara sebelum pukul 4.00 petang esok.

Berdasarkan surat daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kepada semua ahli Dewan Rakyat yang tular hari ini, surat akuan berkenaan perlu menyatakan dengan jelas calon Perdana Menteri kesembilan.

“Saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat (YB) supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh YB untuk menjadi perdana menteri Malaysia yang ke-9.

“Surat akuan yang berhormat hendaklah diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya pada Rabu 18 Ogos sebelum jam 4 petang,” kata Azhar.

Surat tersebut turut memberikan garis panduan dengan beberapa butiran termasuk pengenalan diri, memberikan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai calon dan pengakuan yang terang, jelas dan tanpa syarat.

Jelas surat berkenaan, surat akuan yang tidak mematuhi garis panduan yang diberikan dan lewat diterima tidak akan diambil kira.

Hari ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan memulakan pencarian perdana menteri baru yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ia adalah susulan peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri semalam sekali gus menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri sementara sebelum lantikan Perdana Menteri baharu berlaku.

Surat tersebut turut memperingatkan semua ahli Dewan Rakyat untuk menjaga kerahsiaan surat akuan yang diserahkan mereka kepada Istana.

“Ahli-ahli YB diperingatkan untuk menjaga kerahsiaan surat akuan tersebut sehingga Yang di-Perutan Agong membuat keputusan,” kata Azhar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here