Debaran 5 calon utama Perdana Menteri

0
297

KEJUTAN yang tercipta semalam kini bertukar kepada debaran. Selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengundur diri dengan membubarkan kabinet, kini tumpuan lebih terarah kepada siapa bakal bergelar Perdana Menteri baharu.

Semua mata tertumpu ke Istana Negara. Menanti giliran siapa yang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mempersembahkan nama calon parti masing-masing.

Difahamkan, ketua-ketua parti akan dipanggil menghadap bagi menentukan calon Perdana Menteri kesembilan dan proses pembentukan kerajaan baharu bermula petang ini dan pencalonan mesti dihantar selewat-lewatnya petang esok.

Sejarah tercipta semalam, apabila Yang di-Pertuan Agong menerima perletakan jawatan Muhyiddin serta 29 barisan kabinet kerajaan PN. Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh, Johor itu dilantik sebagai Perdana Menteri sementara.

Ketika ini, beberapa nama pemimpin utama yang dikatakan tersenarai sebagai calon PM mula tersebar termasuklah bekas anggota kabinet Muhyiddin iaitu Ahli Parlimen Bera (Umno), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Sembrong (Umno), Hishammuddin Hussein.

Pemimpin veteran Umno, iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut berada di dalam radar mengiringi Ahli Parlimen Port Dickson (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai Pakatan Harapan (PH).

Tidak ketinggalan, wakil dari Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dicalonkan di atas tiket parti Warisan.

Jika diteliti senarai lima calon utama itu, semuanya cukup berpengalaman di peringkat negeri dan pusat, serta pernah berada dalam senarai kabinet sebelum ini termasuk dibawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dan PN.

Ismail Sabri dan Anwar Ibrahim pernah menyandang jawatan tertinggi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Namun, untuk menjadi Perdana Menteri, mereka sekurang-kurangnya memerlukan sokongan majoriti mudah 111 daripada 222 Ahli Parlimen. Ketika ini Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi kerana dua kerusi lagi masih kosong berikutan kematian penyandangnya.

Bagaimanapun pada masa ini, setiap blok parti politik dikatakan masih buntu kerana tiada satu pun pakatan yang mempunyai majoriti itu melainkan mereka berkompromi untuk membentuk kerajaan baharu.

PN dikatakan kekal dengan 100 kerusi, manakala blok PH pimpinan Anwar terikat dengan 89 kerusi. Kedudukan penentu kini terarah kepada pecahan blok pembangkang serta kumpulan pimpinan Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (keseluruhan 31 kerusi).

Walaupun malam tadi Zahid menegaskan beliau tidak berminat, tetapi kini memegang undi penentu sebanyak 15 kerusi Umno dan boleh membuat pilihan sama ada memberi sokongan kepada PN atau PH.

Ini kerana, keadaan agak sukar untuk Zahid membentuk pakatan sendiri, melainkan terpaksa berkompromi dengan mana-mana pakatan untuk membentuk kerajaan baharu.

Menurut pemerhatian penganalisis politik, selain blok Zahid, perhatian juga perlu diberikan kepada kekuatan Shafie Apdal, juga memiliki pengaruh dan kuasa penentu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here