Bersatu adakan mesyuarat petang ini, bincang perkembangan politik semasa

0
291

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan perbincangan dalam mesyuarat pimpinan parti itu petang ini susulan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof tidak mendedahkan perkara yang akan dibangkitkan dalam perbincangan itu nanti.

Bagaimanapun jika perbincangan petang ini berkenaan pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) sebelum peletakan jawatan Perdana Menteri secara peribadi tidak bersetuju.

“Saya secara prinsipnya tidak akan sokong Ismail Sabri (sebagai Perdana Menteri baharu). Bagaimanapun, saya tak boleh bercakap bagi pihak Bersatu kerana akan dibincangkan dalam pertemuan parti petang ini,” katanya hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah menyifatkan peletakan jawatan Perdana Menteri itu disebabkan kerakusan sekelompok pemimpin kleptokrat untuk meruntuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Semalam media melaporkan, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan ada usaha mengumpulkan akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Usaha itu dibuat Ahli Parlimen PN menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas Muhyiddin meletak jawatan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here