Annuar Musa minta semua pihak bertenang

0
267

KEPUTUSAN meletak jawatan dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah satu keputusan bersama yang perlu diterima secara tenang dan terbuka.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Ketereh, Kelantan, Tan Sri Annuar Musa menasihatkan semua pihak supaya kekal bertenang dengan situasi terkini yang melanda politik negara.

“Yang penting, kita sentiasa menghormati dan mematuhi undang undang dan Perlembagaan negara. Asas pertimbangan paling utama adalah kesejahteraan rakyat.” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, hari ini.

Annuar yang dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan sejak Mac tahun lalu juga memohon maaf kepada semua di atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangannya selama berkhidmat sebagai menteri.

Beliau akur dengan kekurangannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, kerana dirinya adalah insan biasa yang sudah tentu tidak sunyi daripada kesilapan.

“Saya mendoakan kesejahteraan yang berkekalan buat semua warga Wilayah Persekutuan. Semoga semua warga Wilayah Persekutuan tanpa mengira kaum atau agama serta status kehidupan mesti terus dijaga dan dibela.

“Semoga kita dilindungi Allah, dikurnia ketahanan dan imuniti kelompok menghadapi tularan virus Covid-19 dan lainnya.” katanya sambil mendoakan semoga kehidupan ekonomi, sosial dan keselamatan rakyat terus pulih.

Pagi tadi, barisan kabinet diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan mesyuarat khas, sebelum Perdana Menteri ke Istana Negara untuk memaklumkan keputusan terkini.

Difahamkan, semua anggota kabinet sudah menyerahkan perletakan jawatan dan menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menyelesaikan kemelut politik negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here