Persefahaman rentas parti tawaran ikhlas, berani, bertanggungjawab – Syed Ali

0
394

TAWARAN persefahaman rentas parti yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah ikhlas, berani dan bertanggungjawab demi menyelamat dan membebaskan negara daripada krisis COVID-19.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, jika benar Perdana Menteri bermain politik, beliau sememangnya boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Menurutnya, ia juga selari seperti yang didesak blok pembangkang termasuk UMNO sendiri.

“Bagaimanapun, Muhyiddin tidak berbuat demikian kerana menyedari sekarang ini bukan waktu yang terbaik, ketika kerajaan sedang bertungkus lumus memerangi wabak COVID-19 yang telah melumpuhkan negara. Sebaliknya beliau memberi bayangan PRU15 akan diadakan Julai tahun depan.

“Begitu juga desakan supaya Muhyiddin segera meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atas dakwaan hilang majoriti. Saya berpendapat beliau sendiri sudah mengambil maklum keadaan tersebut dengan mengemukakan cadangan diadakan usul percaya terhadapnya di Parlimen tidak lama lagi,” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Sabtu.

Dalam pada itu kata Syed Ali, kerana itu Muhyiddin memilih jalan dengan diadakan undi percaya dan menjanjikan PRU15 akan diadakan pada Julai tahun hadapan dengan mengambil kira suasana semasa pandemik COVID-19.

“Di sinilah saya melihat Muhyiddin mengambil tanggungjawab sebagai Perdana Menteri. Walhal beliau boleh bila-bila masa meletakkan jawatan dan ‘lepas tangan’ tetapi saya yakin beliau lebih memikirkan nasib rakyat dan negara di samping amanah yang beliau pikul,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Sri Dr. Haji Awang Sariyan pula memohon Yang di-Pertuan Agong untuk menimbangkan agar gencatan politik dititahkan.

“Patik sebagai salah seorang rakyat di negara yang tercinta ini, dan tidak berpihak daripada mana-mana kelompok, merafak sembah memohon Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menimbangkan dan mempertahankan rayuan 175 Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan agar Tuanku di bawah Duli menimbangkan gencatan politik dalam keadaan negara masih dilanda wabak Covid-19.

“Pada hemat patik, tumpuan perhatian para pemimpin dan ahli parlimen pada sekaliannya wajar diberi perhatian pada menangani wabak yang tersebut itu.

“Dan sebarang rancangan pertukaran kerajaan wajar ditangguhkan kepada waktu yang lebih sesuai demi maslahah, kesejahteraan dan kesihatan rakyat seluruhnya,” katanya.

Tambah beliau, sembah harapan itu berlunaskan kedudukan dan martabat Yang di-Pertuan Agong sebagai payung negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here