Kerjasama rentas parti langkah matang stabilkan krisis

0
253

BEBERAPA pemimpin parti politik menyifatkan kesediaan kerajaan mewujudkan kerjasama bipartisan dengan pembangkang serta cadangan mewujudkan rangka persefahaman rentas parti sebagai langkah matang bagi menstabilkan krisis politik semasa dengan mengutamakan kepentingan rakyat.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata kerjasama bipartisan yang dicadangkan kerajaan itu membuka ruang untuk semua parti politik di Malaysia melibatkan diri dalam usaha memerangi COVID-19 selaras dengan konsep ‘Whole of Nation’ dan ‘Whole of Society’ yang diamalkan kerajaan.

“Pertelagahan politik yang berterusan tidak memberi manfaat kepada rakyat. Sekarang adalah masa untuk semua pihak duduk dalam satu saf yang sama dan menggembleng seluruh tenaga yang ada demi memastikan kita menang bersama dalam melawan pandemik yang melanda,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga Pengerusi PN Pahang, pula berkata ucapan khas Bersama Memulihkan Negara oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai mercu tanda dalam politik Malaysia.

“Ia matang, inklusif dan bipartisan, punya elemen pembaharuan. Semoga tawarannya mendapat sokongan menstabilkan politik kini yang terlalu adversarial. Kerana kita mesti mengutamakan rakyat,” kata beliau menerusi ciapan di laman Twitternya.

Muhyiddin, dalam ucapan khas hari ini, berkata kerajaan PN yang diterajuinya telah mencapai kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti di luar PN bagi mewujudkan kerjasama bipartisan demi kestabilan negara dan memastikan kerajaan dapat terus berfungsi ketika pandemik COVID-19.

Kerajaan turut mengemukakan tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan sekiranya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here