TPM, UMNO Johor adakan pertemuan

0
269

Oleh Rahimi Mohamad

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada sebelah pagi menyambung kunjungan beliau ke negeri itu dengan pertemuan bersama-sama UMNO Johor.

Bagaimanapun, pertemuan tertutup itu hanya melibatkan Biro Politik UMNO negeri yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana pada sebelah petang.

Kenderaan yang membawa Naib Presiden UMNO dilihat memasuki pekarangan kediaman rasmi berkenaan pada pukul 2.15 petang sebelum meninggalkan kawasan itu hampir pukul 4 petang.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan tujuan mesyuarat tersebut diadakan memandangkan media yang berada di pintu masuk utama tidak dibenarkan masuk selain Ismail Sabri juga terus meninggalkan kediaman itu sejurus selepas pertemuan.

Selain Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang juga Menteri Besar Johor, turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Setiausaha Kerja UMNO Johor, Pandak Ahmad.

Sebelum mesyuarat tersebut, Ismail Sabri menghadap Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi di sini sehari selepas baginda menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Pertemuan tersebut difahamkan adalah pertemuan pertama Timbalan Perdana Menteri yang baharu itu setelah menjawat jawatan tersebut, baru-baru ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here