Kepa wira Chelsea julang trofi Super UEFA

0
317

KEPA Arrizabalaga muncul hero ketika Chelsea memulakan musim baharu dengan menjulang trofi Eropah apabila menewaskan Villarreal 6-5 menerusi penalti, selepas seri 1-1 dalam saingan Piala Super UEFA dekat Belfast, United Kingdom awal pagi tadi.

Penjaga gol Sepanyol itu yang hilang tempatnya selaku pemain nombor satu sejak menyertai kelab berkenaan dengan rekod dunia (kategori penjaga gawang) pada 2018, dimasukkan pada lewat permainan tambahan masa oleh pengurus, Thomas Tuchel.

Kepa terkenal dengan sikap degilnya kerana enggan digantikan oleh bekas pengendali Chelsea, Maurizio Sarri pada final Piala Liga ketika kalah Chelsea kepada Manchester City, dua tahun lalu.

Tapi kali ini dia membalas kepercayaan pengurusnya apabila menyelamatkan percubaan Aissa Mandi dan Raul Albiol.

  • “Ia bukanlah aksi spontan,” kata Tuchel mengenai perancangan dilakukan pada Piala FA musim lalu.

“Kami bercakap mengenai penjaga gol selepas saingan merebut piala pertama menentang Barnsley.

“Kepa memiliki peratusan terbaik menyelamatkan penalti, mereka yang membuat analisis dan jurulatih penjaga gol menunjukkan saya data. Kami bercakap dengan pemain dan ini boleh berlaku apabila kami bermain dalam saingan kalah mati. Menakjubkan apabila Edouard (Mendy) menerimanya.

“Ada bukti bahawa Kepa lebih baik dalam disiplin ini. Mereka pemain berpasukan. Edouard tidak menunjukkan rasa kecewa keluar dari padang. Dia gembira melakukannya buat pasukan dan memberikan ia buat pasukan.”

Dalam aksi tadi, Hakim Ziyech meledak buat Chelsea pada minit ke-27, namun Gerard Moreno menyamakan kedudukan pada babak kedua seterusnya membawa permainan ke penentuan penalti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here