Tangki oksigen bukan punca kebakaran

0
225

SIASATAN awal pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perak berhubung kebakaran sebuah bilik isolasi, Wad 10 Hospital Slim River di Tanjung Malim malam semalam mendapati kejadian bukan berpunca daripada tangki oksigen terbakar.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Ding Lay Ming berkata siasatan lanjut mengenai punca sebenar kejadian kira-kira pukul 7.20 malam itu sedang dijalankan pihak hospital serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Kebakaran membabitkan seorang pesakit lelaki yang ditempatkan di dalam bilik tersebut.

“Jururawat dan pembantu perawatan kesihatan yang bertugas telah segera mengalihkan pesakit ke tempat yang selamat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata kebakaran itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan iaitu melecur sembilan peratus di bahagian tangan dan sudah diberi rawatan lanjut.

Bagaimanapun katanya pesakit berusia lingkungan 40-an itu kini berada dalam keadaan stabil.

Semalam, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River dikerahkan ke hospital berkenaan namun kebakaran berjaya dipadamkan kakitangan hospital dan kemusnahan bilik isolasi itu dianggarkan lima peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here