MT UMNO hanya ‘caretaker’ – RoS

0
329

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diketuai Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya boleh menjalankan kerja-kerja pentadbiran parti sehingga selesai pemilihan dan Mesyuarat Agung UMNO 2021 dijalankan.

Ketua Pengarah Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (RoS), Jasri Kasim berkata, dalam situasi sekarang, MKT UMNO seperti ‘caretaker’ atau penjaga sementara sahaja.

“Pada masa ini (kepimpinan UMNO) seperti ‘caretaker’ sahaja, hanya boleh buat pengurusan ‘administrative’ atau pentadbiran biasa parti.

“Dari segi pelaksanaan keputusan dasar kena bawa ke perhimpunan agung dahulu kerana dia lebih kepada ‘caretaker’ sahaja,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia.

Jasri berkata, RoS sudah menerima surat penjelasan daripada UMNO semalam berhubung keputusan penangguhan pemilihan 18 bulan yang mana pihaknya berpandangan sebelum ini sebagai tidak sah memandangkan keputusan penangguhan itu dibuat selepas tamat tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 pada 30 Jun lalu.

Jelas beliau, pihaknya akan meneliti dengan terperinci surat penjelasan yang diterima terlebih dahulu kerana UMNO ada mengemukakan maklumat baharu.

Bagaimanapun, katanya, segala intipati surat penjelasan itu tidak boleh didedahkan, namun memaklumkan akan menilai satu persatu penjelasan berkenaan.

“Saya sudah bercakap perkara ini kepada UMNO bahawa isu ini ‘straight forward’ sahaja, kita dah dengar penjelasan mereka dan akan teliti satu persatu.

“Mereka juga tidak mengemukakan lagi cadangan tarikh baharu pemilihan parti dan Mesyuarat Agung UMNO 2021 yang akan diadakan,” katanya.

Pada 6 Ogos, RoS memutuskan penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan sebagai tidak sah kerana tempoh sah pemegang jawatan parti itu bagi penggal 2018-2021 telah tamat pada 30 Jun lepas. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here