[VIDEO] Gabungan Bersatu, PAS, UMNO formula kerajaan stabil- Penganalisis

0
1272

CADANGAN tiga parti politik berteraskan Melayu-Islam disatukan seperti dibangkitkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan formula terbaik untuk memelihara kestabilan politik negara.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, majoriti masyarakat Melayu-Islam di negara ini mengharapkan satu bentuk dominasi politik Melayu-Islam yang kuat mengetuai pentadbiran negara.

“Sebenarnya, ini adalah klimaks kepada pentadbiran berasaskan dominasi politik Melayu-Islam di mana sekiranya gabungan ini berjaya dikekalkan sehingga pilihanraya ini, satu rekonsiliasi boleh dibentuk termasuk sama ada perlu menukar pemimpin, mendapatkan sokongan baharu daripada akar umbi atau sama ada perlu timbal balik ‘give and take’ dalam politik negara,” katanya ketika dihubungi oleh SatuBerita.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat bahawa dominasi politik berteraskan Melayu-Islam yang diperkemaskan dengan elemen-elemen seperti anti rasuah, perpaduan yang lebih bagus serta kerjasama yang lebih telus bakal memperlihatkan satu bentuk persepakatan yang boleh terus memegang pentadbiran kerajaan sekurang-kurangnya hingga dua penggal lagi.

“Perkara ini perlu difahami kerana jika berlakunya satu pembentukan baru di antara Bersatu, PAS dan UMNO, maka dominasi politik berteraskan Melayu-Islam seperti ini boleh meneruskan formula kejayaan yang telah lama terbukti berjaya.

“Sekiranya mereka lebih bersatu terutamanya dalam pandemik COVID-19 dan memberi ruang kepada wajah-wajah baharu untuk turut serta dalam kepimpinan parti, maka kita akan mempunyai satu dominasi politik Melayu-Islam yang lebih kuat dan lebih baik sekaligus mampu memberikan satu jaminan bahawa kerajaan akan lebih stabil pada masa hadapan,” tambahnya.

Beliau turut berpandangan bahawa kesatuan parti politik berteraskan Melayu-Islam ini juga boleh memperkukuhkan permuafakatan dan elemen-elemen berhubung kepentingan ummah di samping tidak mengenepikan isu percambahan ekonomi dan isu-isu yang bukan berkepentingan Melayu.

Mengulas samada idea untuk menyatukan tiga parti politik berteraskan Melayu-Islam ini satu pandangan yang realistik atau tidak, beliau menyatakan bahawa persoalan tersebut bukan bergantung kepada rakyat, sebaliknya kuncinya terletak pada ahli politik daripada golongan Melayu-Islam itu sendiri.

“Jelas kegagalan mereka membentuk satu pakatan permuafakatan seperti yang dipersetujui sebelum ini, masing-masing menyalahkan satu sama lain dan terdapat pelbagai teori dan perdebatan yang diperkatakan, mereka perlu menanggung kesalahan ini.

“Ini bukan kesalahan rakyat yang mengundi, ini adalah kesalahan mereka yang gagal membentuk satu gabungan yang kuat berteraskan dominasi politik Melayu-Islam. Sekiranya gabungan ini gagal dilaksanakan sekali lagi kali ini, mereka akan terlepas peluang yang amat baik untuk membentuk satu dominasi politik Melayu-Islam yang kuat dan diyakini oleh masyarakat dan meneruskan pentadbiran politik yang lebih stabil,” ulasnya.

Tambahnya lagi, pemimpin parti-parti ini perlu sedar bahawa kegagalan mereka meneruskan acuan gabungan parti yang berteraskan Melayu-Islam adalah daripada kesilapan mereka sendiri kerana ianya jelas bahawa mereka tidak menggunakan ruang, masa dan mandat yang diperohi sebelum ini dengan sebaiknya untuk mengekalkan kuasa politik berteraskan Melayu-Islam.

“Pada saya, semua pihak harus berlapang dada dan mengetepikan kepentingan peribadi dan apa yang perlu dilakukan pada masa ini adalah untuk meneruskan kepimpinan yang sedia dan bekerjasama untuk membaiki kelemahan dalam pentadbiran kerajaan sedia ada.

“Ini bukan masa untuk berpecah, ini sebenarnya masa untuk membentuk perpaduan dan masih belum terlambat untuk mengadakan kesatuan parti berteraskan Melayu-Islam yang kuat dan tidak boleh digugat oleh mana-mana gabungan politik yang lain,” tambahnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here