PKP:Pas Kelantan ceramah ‘online’ kupas isu semasa

0
284

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

PAS Kelantan akan meneruskan program penerangan secara atas talian bagi menjelaskan isu-isu dan perkembangan semasa dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, walaupun tidak dapat menyampaikan ceramah secara fizikal, kemudahan media sosial akan dimanfaatkan bagi tujuan itu.

Katanya, sekarang ceramah, konvesyen dan seminar diadakan menggunakan platform Facebook yang diikuti ramai peserta dan penonton.

“Sesiapa yang ada Facebook semua boleh tengok ceramah tersebut. Alhamdulilah sambutannya amat menggalakkan. Lagipun apa yang kita bincangkan mengikut perkembangan semasa.

“Program ceramah secara atas talian diadakan setiap dua minggu sekali bagi mengupas isu-isu semasa manakala program lain turut membabitkan kerjasama dengan Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Mengenai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, jentera Pas Kelantan sudah lama menyusun gerak kerja.

Begitu juga katanya, kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) terus berlangsung.

“Secara umumnya 80 hingga 90 peratus penyokong Pas sudah boleh menerima UMNO. Ada pun yang tak suka pun hanya ada segelintir sahaja mungkin mereka masih terasa dengan ‘luka’ lama terutama golongan veteran,” ujarnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here