Henti jaja nama rakyat ‘halalkan’ tindakan untuk rebut kuasa

0
311

Pengumuman UMNO melalui Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) mencetuskan satu lagi krisis politik tanah air yang hebat.

Ia boleh dianggap kemuncak kepada pendirian UMNO terhadap kerajaan PN yang sebelum ini hanya tertumpu kepada soal jawatan Perdana Menteri.

Tindakan ini menimbulkan banyak persoalan, terutama mengenai keabsahan dan kedudukan Perdana Menteri, sekali gus kerajaan PN.

Banyak pihak membuat spekulasi sama ada kerajaan PN boleh kekal atau sebaliknya, termasuk kemungkinan wujud kerajaan interim sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi mengatasi krisis politik kali ini.

Adakah kita akan menyaksikan perubahan ketua kerajaan sekali lagi dalam tempoh 18 bulan?

Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menafikan perubahan ketua kerajaan, sebaliknya menyatakan beliau masih lagi Perdana Menteri selepas menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti di Parlimen pada masa ini.

Apa yang lebih menarik perhatian adalah pengumuman Perdana Menteri mengenai usul percaya kepada beliau pada sesi Dewan Rakyat pada September depan. Ini bermakna Perdana Menteri yakin beliau boleh mendapat sokongan mencukupi untuk mengekalkan kedudukan sebagai ketua kerajaan.

Ahli Parlimen mempunyai masa kira-kira sebulan untuk menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri atau sebaliknya. Mungkin tempoh ini juga boleh dianggap sebagai waktu bertenang kepada Ahli Parlimen sebelum membuat apa-apa keputusan penting untuk menzahirkan sokongan.

Pada masa sama, kita boleh menjangkakan, dalam tempoh itu juga akan berlaku tawar-menawar bagi Ahli Parlimen untuk menyatakan sokongan. Tidak mustahil kita akan menyaksikan jika ada wakil rakyat melompat parti atau sekurang-kurangnya mengalihkan sokongan. Ini pernah kita lihat sebelum ini.

Perlukah lagi krisis politik ketika kita masih berhadapan dengan penularan pandemik Covid-19 yang belum reda? Rata-rata rakyat sudah tentu tidak mahu satu lagi krisis menghimpit kehidupan mereka, selain krisis kesihatan dan ekonomi.

Lebih teruk lagi, ahli politik pula dengan sewenang-wenangnya menggunakan alasan demi kepentingan rakyat bagi menghalalkan tindakan mereka untuk merebut kekuasaan.

Buat masa ini, kerajaan berfungsi seperti biasa sehingga sesi Parlimen yang dijangka berlangsung bulan depan. Bantuan diumumkan kerajaan, termasuk program vaksinasi akan disalurkan serta berjalan seperti biasa.

Namun, dengan peletakan jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, ia boleh menjejaskan reputasi, kedudukan dan keupayaan Kabinet dalam melaksanakan tugas sebaik mungkin.

Seperti kita maklum, UMNO diberikan 10 jawatan menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri. Kita masih menunggu bagaimana nasib dan kedudukan menteri UMNO lain sama ada kekal dalam kerajaan atau meletak jawatan.

Sudah tentu mereka berhadapan dilema cukup besar sama ada terus berada dalam kerajaan atau taat menuruti keputusan parti.

Tidak dinafikan, menteri UMNO dalam kerajaan selama ini perlu akur dengan keputusan Kabinet seperti terkandung dalam prinsip kebertanggungjawaban bersama (collective responsibility), namun pada masa sama mereka juga dituntut untuk patuh dengan ketetapan parti.

Memang ada menteri UMNO jelas memihak kepada keputusan kerajaan berbanding parti politik mereka.

Kini, lapan Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Perdana Menteri. Ini bermakna 31 lagi ahli Parlimen UMNO belum dipastikan membuat keputusan sama ada untuk menarik sokongan atau masih bersama dengan Perdana Menteri dan kerajaan PN.

Namun apa yang pasti, UMNO nampaknya tekad untuk memutuskan hubungan dengan kerajaan PN apabila sudah ada pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam kalangan pemimpin UMNO turut meletakkan jawatan.

Siapakah yang mendapat keuntungan daripada krisis politik ini? Rakyat sudah tentu jauh sekali. UMNO yang dilihat mendominasi dalam krisis politik ini percaya bahawa inilah masa terbaik buat mereka mengambil alih kerajaan.

Jawatan Perdana Menteri yang menjadi idaman mungkin dapat dimiliki. Namun, dengan kekuatan setiap parti hampir sama, tidak memungkinkan mana-mana parti politik boleh menubuhkan kerajaan tanpa bekerjasama. Ini termasuk UMNO mahupun blok pembangkang.

Justeru, percaturan politik dijangka lebih sengit selepas ini. Penjajaran politik melalui kerjasama dan tawar-menawar politik akan ligat berlaku demi kelangsungan politik. Lebih-lebih dalam kamus politik, tidak ada kawan dan lawan yang abadi, hanya kepentingan bersama yang kekal.

Memandangkan Perdana Menteri mahu menentukan nasibnya di Dewan Rakyat kelak, ia membuka permainan atau persaingan politik terbuka lagi mendebarkan. Dalam politik hanya ada menang atau kalah, tidak ada situasi menang-menang. Politik angka akan menjadi semakin penting selepas ini.

Pihak pembangkang melalui kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menyatakan pendirian agar Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri dipercepatkan sebelum 9 Ogos.

Namun, dalam keghairahan merebut kuasa, jangan dilupakan rakyat di bawah yang sentiasa mahu dibela, terutama dalam situasi sukar ini. Mereka sentiasa menanti khabar gembira daripada wakil rakyat mereka.

Apa yang jelas, krisis politik ini perlu dinoktahkan.

Dr Mohd Izani Mohd Zain
Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here