Kongsi gelap babit remaja: Polis tubuh pasukan khas siasat dakwaan

0
329

POLIS Daerah Ipoh menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat kegiatan kongsi gelap membabitkan remaja di bandar raya ini seperti didakwa seorang pengguna laman Facebook, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya memandang serius aduan yang dikongsi pengguna Facebook bernama Meganathan Nathan itu sehingga mendapat perhatian umum.

“Pasukan siasatan khas ditubuhkan bagi menyiasat kesemua maklumat yang diberikan oleh pengadu ini.

“Polis memandang serius tentang aduan ini dan mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat dalam perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yahaya dalam pada itu menasihati orang awam agar tidak mendedahkan identiti peribadi dan membuat aduan sulit melalui kaedah tular di media sosial bagi tujuan keselamatan.

Menurutnya, orang awam boleh mengemukakan sebarang aduan atau maklumat melalui saluran yang betul dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-254 2222 atau e-mel kepada Ketua Polis Daerah Ipoh di [email protected].

“Selain itu, maklumat mengenai kegiatan jenayah di bandar raya itu juga boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ipoh melalui e-mel [email protected]. dan identiti mereka akan dirahsiakan,” tambahnya.

Terdahulu, tular aduan seorang pengguna Facebook dengan mendakwa terdapat kegiatan kumpulan kongsi gelap di Ipoh yang melibatkan golongan remaja dikenali sebagai Thilai Geng 04.

Kumpulan itu dikatakan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan kegiatan jenayah terancang selain turut didakwa cuba mempengaruhi remaja lain di kawasan sekitar untuk menyertai mereka.

Aduan menerusi hantaran itu turut disertakan dengan gambar memperlihatkan wajah beberapa individu yang dikatakan terbabit dalam aktiviti kongsi gelap itu termasuk ketua dan penolong kanan ketua kumpulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here