Penduduk Lembah Klang tanpa janji temu boleh ‘walk in’ dapatkan vaksin di PPV terpilih hari ini

0
244

BERMULA hari ini, warga Lembah Klang yang masih belum mendapat tarikh janji temu dan mahu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 boleh datang terus atau ‘walk in’ di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih yang ditetapkan.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, sebanyak sembilan PPV terlibat dalam memberi suntikan vaksin secara datang terus atau tanpa janji temu di Lembah Klang.

PPV terlibat adalah KL Convention Centre (HCO F, HCO G dan HCO H); Bangi Avenue Convention Centre; Hotel Wyndham, Klang; Dewan Tun Razak, Sabak Bernam; Dewan Komuniti Serendah; Movenpick Hotel Convention Centre KLIA dan Ideal Convention Centre, Shah Alam.

Mereka boleh mengunjungi mana-mana PPV yang dinyatakan bermula pukul 2 petang setiap hari, tertakluk kepada hari operasi PPV masing-masing.

Bagi yang berumur 40 tahun ke atas atau golongan ‘komorbid’ (kumpulan berisiko tinggi untuk mengalami kesan yang teruk daripada Covid-19 sekiranya dijangkiti), vaksinasi datang terus akan bermula hari ini hingga 4 Ogos.

Selain itu, warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas di Lembah Klang boleh mendapatkan vaksin secara datang terus bermula 5 Ogos hingga 22 Ogos.

Bagi bukan warganegara pula, tarikh dibenarkan untuk jumpa terus bermula 9 Ogos dan hanya akan dijalankan di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil.

CITF berkata, antara dokumen yang diperlukan ialah bukti menunjukkan lokasi bermastautin di Lembah Klang seperti alamat di kad pengenalan, lesen memandu, sebarang bil utiliti atau kad kredit, kad pekerja, kad pelajar, surat perjanjian atau lain-lain.

Golongan komorbid diminta membawa sebarang bukti yang menunjukkan mereka termasuk dalam kategori itu seperti kad rawatan atau kad janji temu.

Bagi bukan warganegara pula, mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan yang sah, akan melalui proses yang telah ditetapkan dalam satu Garis Panduan Pengurusan Pemberian Vaksin Kepada Individu Bukan Warganegara yang telah dikeluarkan oleh CITF.

Vaksinasi jumpa terus ini adalah mengikut kaedah ‘siapa dahulu, dia dapat’ bergantung kepada kapasiti bekalan vaksin di PPV.

Individu yang datang secara datang terus akan diletakkan di bawah ‘senarai menunggu’ untuk hadir semula pada keesokan harinya sekiranya bekalan pada hari berkenaan habis digunakan.

Sementara itu, individu yang telah mendapat janji temu tidak dibenarkan untuk jumpa terus dan tidak dibenarkan untuk membatalkan janji temu yang diberikan bagi tujuan jumpa terus sekiranya janji temu sedia ada adalah pada tarikh yang akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here