SPR terima 44,321 permohonan pendaftaran pemilih baharu

0
399

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menerima 44,321 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak bagi tempoh antara 1 April hingga 30 Jun lalu.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, sebanyak 21,567 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar memohon berbuat demikian dalam tempoh sama.

Untuk itu beliau berkata, SPR akan melaksanakan urusan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi ST2/2021 yang mengandungi permohonan pendaftaran pemilih baharu dan pertukaran bahagian pilihan raya pemilih berdaftar itu selama 14 hari mulai 3 hingga 16 Ogos ini di 822 tempat pameran di seluruh negara.

“Semakan RDPT ST2/2021 boleh dibuat melalui beberapa kaedah semakan seperti berikut, pertama hadir ke 822 tempat pameran di seluruh negara dan mengimbas Kod QR bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan atau melayari portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri.

“Selain itu semakan boleh dibuat dengan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan dan menyemak buku RDPT ST2/2021 yang disediakan (sila hubungi PPN untuk janji temu atau maklumat waktu operasi pejabat) atau melayari portal rasmi SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau membuat semakan melalui aplikasi MySPR Semak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ikmalrudin, semua pemohon dinasihatkan menyemak nama mereka dalam RDPT ST2/2021 dan sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.

Jelas beliau, bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST2/2021 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

Beliau menambah, Borang B dan Borang C boleh dimuat turun menerusi portal Pejabat Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan.

“Semasa tempoh Pameran RDPT ST2/2021, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST2/2021 boleh menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here