Henti politik tidak matang

0
422

PEMIMPIN-pemimpin politik di negara ini perlu meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan yang jelas dan mengetepikan kepentingan peribadi di saat negara masih lagi bergelut dengan penularan wabak COVID-19.

Menurut penganalisis politik dan kerajaan, keselamatan negara, patriotisme dan pembinaan negara bangsa, Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri, usaha memerangi wabak COVID-19 perlu menjadi keutamaan oleh semua pihak berbanding persaingan merebut kuasa.

Beliau mencadangkan agar suatu gencatan politik atau kenyamanan politik perlu diadakan bagi memastikan kerajaan dapat mengarahkan fokus mereka melaksanakan program-program ekonomi yang telah diumumkan di dalam Pelan Pemulihan Negara baru-baru ini.

“Dengan adanya gencatan politik ini, maka kerajaan dan pembangkang boleh bersama-sama fokus menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat yang sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran besar dari sudut kesihatan, ekonomi dan sosial. Ini adalah tanggungjawab bersama, bukan tanggungjawab kerajaan sahaja,” katanya kepada Bernama.

Tambah beliau, kematangan dalam berpolitik amat penting ketika negara berada dalam keadaan yang sukar ini dan menyeru agar ahli politik mengamalkan prinsip demokrasi yang betul dengan memberi peluang kepada kerajaan mentadbir negara dengan aman.

Senada dengan beliau, penganalisis politik dan media sosial Prof Madya Dr Sara Chinnasamy dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berpandangan bahawa pemimpin politik perlu mengutamakan kesejahteraan rakyat dan tidak sepatutnya menggadaikan nyawa rakyat demi kepentingan politik mereka.

“Terutama semasa pandemik ini, yang penting adalah kesejahteraan rakyat. Oleh itu, pemimpin politik perlu menghentikan retorik politik mereka dan bekerjasama (dengan kerajaan) dan bukannya membantah, ” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here