Maritim Malaysia Pulau Pinang rampas 39 set bubu naga di Pulau Aman

0
496

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 39 set bubu naga di tiga lokasi berasingan di sekitar 3.4 batu nautika barat daya Pulau Aman kelmarin.

Rampasan itu dilakukan hasil aduan awam serta rondaan rutin agensi berkenaan menerusi Op Pertiwi antara pukul 6.45 petang hingga 7.55 malam.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya melakukan pemerhatian khusus terhadap lokasi aduan sebelum menjumpai 39 set bubu naga yang dipasang di perairan berhampiran Pulau Aman.

Kesemua bubu naga dengan anggaran nilai RM4,680 itu dirampas serta dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban

“Kesemua bubu naga dengan anggaran nilai RM4,680 itu dirampas serta dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Abd. Razak, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

Tambahnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Penggunaan bubu naga diharamkan kerana boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain

“Sehubungan itu, nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan,” ujarnya.

Tambah beliau, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram itu dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai segera melaporkan sebarang kejadian dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Jelasnya, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh menghubungi Maritim Malaysia menerusi talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here