Lapan daerah disinggahi Agong sepanjang Kembara Kenali Borneo di Sabah

0
212

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan singgah di lapan daerah sepanjang Kembara Kenali Borneo di Sabah bermula 3 hingga 7 September ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya selaku menteri pengiring sepanjang program itu, berkata kembara baginda berdua akan bermula di Tawau sebelum singgah di Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang.

“Beberapa program disusun atur di setiap daerah yang akan dilawati baginda berdua dengan mengetengahkan budaya kita melalui masakan tradisi dan juga hasil kraftangan serta produk dihasilkan oleh pengusaha tempatan.

“Kita juga ingin berkongsi dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta rombongan untuk melawat ke tempat yang kaya dengan keunikan alam semula jadi dan tamu mingguan yang begitu sinonim dengan masyarakat di negeri ini,” katanya pada sidang media mengenai program itu, di sini, semalam.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata program kembara Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong diatur pihak Istana Negara dengan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.

Katanya, setakat ini persiapan sudah mencapai 90 peratus bagi memastikan program kembara itu yang akan melalui jalan persekutuan, termasuk Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan berjalan dengan lancar dan selamat.

“Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong ini akan menggunakan jajaran jalan persekutuan dari Tawau sehingga ke Sindumin yang mana jalan ini juga adalah jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sekarang

sedang dinaik taraf secara berperingkat.

“Sejak tahun lalu, beberapa kawasan terutama di antara Ranau hingga ke Kinabatangan yang mana jalan raya berada dalam keadaan agak teruk, berlubang-lubang hingga dilabel sebagai jalan permukaan bulan, juga sudah dibaiki menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

“Kita berharap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta rombongan dapat melalui jalan itu dengan selesa,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata program Kembara Kenali Bomeo itu amat dinantikan dan seluruh rakyat jelata Sabah mengalu-alukan keberangkatan tiba baginda berdua serta rombongan ke negeri ini.

“Besar harapan kami agar program ini dapat merapatkan silaturahim rakyat negeri Sabah dengan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta rombongan.

Semoga ianya menjadi kenangan terindah bagi seluruh rakyat negeri Sabah,” katanya, lapor BH Online.

Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Sabah membabitkan laluan sepanjang kira-kira 900 kilometer bermula di Tawau hingga ke Sindumin di sempadan Sabah – Sarawak, sebelum kembara diteruskan di negeri jiran itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here