PRK:’Saya tak mahu menjanjikan bulan dan bintang’-calon PN

0
118

Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang semasa berkempen semata-mata kerana mahu meraih undi.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai itu hanya menawarkan janji-janji atau perkara yang boleh ditunaikan.

“Saya berhasrat untuk mengembalikan keseimbangan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada 9 September nanti.

“Perkara ini menjadi tumpuan utama semasa saya berkempen mendengar pelbagai permasalahan yang diutarakan penduduk di Parlimen Pulai.

“Masalah rakyat itu saling berkaitan dan ia membentuk rantaian yang menjejaskan pelbagai pihak termasuklah pencari nafkah, golongan peniaga dan seterusnya.

“Antara permasalahan yang kerap didengari ialah kos sara hidup dan harga barang yang mahal. Jika seseorang itu berpendapatan rendah, mereka tidak ada kuasa membeli dan peniaga terjejas, ia saling berkait.

“Saya tak mahu menjanjikan bulan dan bintang, namun jika diberikan mandat, maka itulah perkara untuk yang saya saya tangani. Jika ekonomi dapat diseimbangkan, kesejahteraan rakyat akan dapat mencapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Ramah Mesra Bersama Jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Indah, Johor Bahru hari ini .

Zulkifli (belakang) membantu jentera parti melakukan persiapan dalam Program Ramah Mesra Bersama Jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Indah, Johor Bahru hari ini

Zulkifli, 50, akan bertemu calon Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN), Suhaizan Kaiat dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

Mengulas lanjut, beliau akan memperjuangkan isu tersebut kerana keseimbangan ekonomi dan kesejahteraan rakyat merupakan perkara yang merangkumi semua aspek kehidupan sekali gus memberi kesan terhadap kualiti hidup.

Beliau bersama jenteranya akan berusaha menggali lagi isu rakyat yang membelenggu penduduk setempat dan pada masa sama mencari ikhtiar dan

jalan terbaik menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, beliau berpuas hati dengan sokongan yang diraih sepanjang tempoh empat hari berkempen namun percaya perlu kerja lebih kuat lagi untuk mendapat kepercayaan pengundi.

“Alhamdulillah, setakat ini, saya sudah pergi ke 19 daripada 40 PDM dalam kawasan Parlimen Pulai ini. Perjalanan masih jauh dan ada kawasan yang perlu saya masuk termasuklah kawasan hitam,” katanya.

Beliau akui sukar untuk tafsirkan sokongan pengundi di Pulai terutama pengundi Cina tetapi akan terus bekerja keras dalam tempoh 10 hari lagi.

“Pendekatan yang saya gunakan sepanjang tempoh berkempen ialah untuk mengingatkan penduduk setempat tentang kepentingan keluar mengundi baik golongan muda atau Yang sudah berusia,” katanya.

Beliau mengharapkan peratusan keluar mengundi lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 iaitu sekitar 43 peratus sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here