Had masa kempen elak penyokong parti bertembung – KP Johor

0
113

POLIS Johor menetapkan tempoh masa tertentu bagi setiap calon bagi kedua-dua parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Johor di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tujuannya bagi mengelak sebarang pertembungan diantara kedua-dua parti bertanding sepanjang tempoh berkempen.

“Pada masa ini pihak polis telah menetapkan masa tertentu (untuk parti bertanding) untuk berkempen.

“Bagaimanapun ada kejadian ada pihak melanggari (peraturan yang ditetapkan) dan pihak petugas pilihan raya telah memberi amaran untuk akur kepada apa yang telah ditetapkan,” katanya.

Difahamkan kenyataan itu dibuat susulan kejadian di Johor Bharu, hari ini.

Terdahulu, dilaporkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegur jentera PH kerana melanggar waktu berkempen untuk PRK Parlimen Pulai di tapak Pasar Malam Taman Sutera, di Johor Bharu.

Petugas dengan vest Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya SPR yang memantau kempen terbabit meminta jentera PH menutup kaunter bergerak itu.

“Jika mengikut permit dikeluarkan polis, jentera PH hanya dibenarkan untuk berkempen di sini bermula pukul 7.30 malam.

“Ketika ini (5.30 petang) adalah waktu jentera Perikatan Nasional (PN).

“Perbezaan waktu yang diberikan itu bertujuan untuk memastikan tiada sebarang perselisihan dan pertembungan berlaku antara jentera PH dan PN,” kata petugas SPR itu seperti dipetik Berita Harian.

Sehubungan itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Cheo Yee How meminta jentera PH menutup sementara kaunter berkenaan bagi mematuhi peraturan berkenaan.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata semua pihak dinasihatkan memohon permit terlebih dahulu bagi mengelak sebarang masalah.

“Apa-apa permasalahan dari segi permohonan permit, pohonlah.

“Pihak polis akan pastikan seperti mana yang saya tegaskan sebelum ini kita akan beri kemudahan pada mereka yang memohon permit untuk berceramah dan sebagainya dan maklumkan kepada pihak polis.

“Kita akan tentukan kerana kita tak nak bertindih atau bertindan yang boleh menyebabkan perkara tak diingini,” katanya.

Sementara itu, Kamarul berkata, sebanyak sebelas laporan polis telah diterima setakat ini berkaitan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dari 26 Ogos hingga 28 Ogos.

“Daerah Johor Bharu mencatatkan laporan tertinggi sebanyak tujuh diikuti Daerah Johor Bharu Selatan tiga, Iskandar Puteri satu, dan tiada sebarang laporan diterima di Muar.

“Namun begitu satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948/233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Isu yang menyentuh 3R satu saja melibatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan selebihnya berkait poster,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarul juga menegaskan akan menyiasat elemen perjudian pada PRK kali ini.

“Kita akan pastikan tiada elemen perjudian yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya,” tegasnya.

Kamarul juga menasihatkan supaya semua pihak yang terlibat agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan sepanjang tempoh 14 hari kempen pilihan raya bagi memastikan kelancaran PRK selain mengelak berlakunya sebarang kejadian yang tidak dingini.

“Untuk memastikan perkara ini tidak berlaku kita telah tempatkan unit antidron, maksudnya jika ada yang menerbangkan dron kita akan sekat dron dan dua unit ini satu akan ditempatkan di Muar dan satu lagi di Pulai,” katanya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi terbabit berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Persaingan merebut kedua-dua kerusi itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru, antara PH, PN dan calon Bebas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here