Pembantu penguat kuasa CIDB didakwa terima suapan RM2,000

0
170

SEORANG pembantu operasi unit penguatkuasaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Selangor didakwa di Mahkmah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan menerima suapan sebanyak RM2,000 pada Ogos, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Razif Rosli, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi, pagi ini, lapro Utusan TV.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai seorang ejen kepada CIDB iaitu pembantu operasi unit penguatkuasaan lembaga itu telah secara rasuah menerima suapan sebanyak RM2,000 daripada seorang lelaki berbangsa Cina berusia 37 tahun menerusi akaun bank milik tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan mengeluarkan notis kompaun terhadap sebuah syarikat pembinaan yang memiliki lesen pendaftaran CIDB yang telah tamat tempoh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2022.

Justeru, Mohd. Razif didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras mencadangkan agar tertuduh dibenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Mohd. Shahril Madisa memohon agar mahkamah mempertimbangkan cadangan jaminan pihak pendakwaan itu direndahkan kepada RM2,000 memandangkan tertuduh menanggung isteri dan anak yang masih bersekolah selain mempunyai bapa yang menghidap penyakit jantung.

“Saya turut difahamkan bahawa tertuduh memberikan kerjasama penuh kepada pihak SPRM sepanjang proses siasatan dan menghadirkan diri ke mahkamah hari ini dengan rela hati,” kata peguam itu.

Hakim Azura kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa untuk simpanan mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 25 September depan bagi sebutan kes dan serahan dokumen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here