Pesara TNB didakwa pukul isteri dengan kayu

0
171

SEORANG pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan memukul isterinya, kelmarin.

Tertuduh, R. Subramanian, 65, memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu namun tidak mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, warga emas itu dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 54 tahun dengan menggunakan sebatang kayu di sebuah rumah di Jalan Pertama 4, Taman Pertama, di Ipoh pukul 1.14 pagi Ahad lalu.

Perbuatan itu dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun yang sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu, jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.

Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan, tertuduh berhadapan dengan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang mana tertuduh boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah manakala tertuduh diwakili peguam, Dayang Nor Emilia Azman Shah.

Qurratu’aini menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh namun Dayang Nor Emilia memohon jumlah jaminan paling minimum memandangkan tertuduh sudah berusia dan selain bergantung wang persaraan, selain pendapatan tidak tetap sebagai pekebun.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicara, selain menetapkan 3 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here