Keterangan Zeti di mahkamah berkaitan 1MDB jelas ‘pengabaian tugas’ oleh Apandi – Tun M

0
128

PENYELESAIAN saman di luar mahkamah melibatkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali oleh kerajaan tidak mencerminkan dengan baik kedaulatan undang-undang negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan, pemecatan Apandi tidak dibuat secara salah berdasarkan dakwaan ‘pengabaian tugas’ yang dilakukan oleh bekas Peguam Negara itu.

Kata Dr. Mahathir, ini dibuktikan melalui keterangan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz di Mahkamah Tinggi pada 28 Julai lalu berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Zeti dalam keterangannya berkata, walaupun bukti terlalu banyak dikumpul dan direkodkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Peguam Negara ketika itu (Apandi) atas sebab yang tidak diketahui pada 11 Sept 2015 memutuskan IP itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Dr. Mahathir berkata, beliau tersentak selepas membaca laporan media berkaitan kenyataan Zeti tersebut.

“Zeti menyatakan bahawa beliau telah melaporkan kepada Peguam Negara pada masa itu iaitu Apandi perbuatan salah kakitangan 1MDB.

“Tetapi Peguam Negara tidak mengambil sebarang tindakan. Ia seolah-olah kelalaian tugas,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa lapor Astro AWANI.

Pada 28 Julai lalu, Zeti semasa memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi memberitahu bahawa BNM menyerahkan Kertas Siasatan (IP) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan syor untuk memulakan pendakwaan jenayah dan mendakwa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk pegawai kanannya.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, beliau bersedia untuk pergi ke mahkamah bagi menjelaskan mengapa Apandi perlu disingkirkan daripada jawatan sebagai Peguam Negara.

“Satu lagi contoh keputusan salah Apandi ialah menolak semua kes terhadap Najib (bekas Perdana Menteri), namun apabila seorang lagi Peguam Negara membawa kes Najib ke mahkamah, tiga mahkamah dan sembilan hakim mendapati Najib bersalah.

“Jelas, Apandi selaku Peguam Negara tidak mengkaji kes itu secara menyeluruh sebelum mengisytiharkan Najib tiada kes untuk dijawab,” jelasnya.

Dr. Mahathir mendakwa, perkara itu sekali lagi menunjukkan pengabaian tugas di pihak Apandi.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, apabila Apandi menyaman kerajaan dan beliau, kerajaan telah bersetuju untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah dan memberikan Apandi sejumlah wang yang tidak diketahui untuk menggugurkan tindakan samannya itu.

Dengan kata lain, Dr. Mahathir mendakwa, kerajaan seolah-olah bersetuju bahawa Apandi dipecat secara salah.

“Saya tidak terlibat dalam penyelesaian itu. Saya tidak bersetuju bahawa saya telah memecat Apandi secara salah.

“Tetapi kini, laporan bahawa beliau gagal mengambil tindakan terhadap laporan oleh Bank Negara membuktikan beliau tidak menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara. Justeru, ini mewajarkan lagi pemecatannya sebagai Peguam Negara.

“Peguam Negara seperti itu diberi pampasan dengan jumlah wang yang tidak diketahui tidak mencerminkan dengan baik kedaulatan undang-undang di negara ini,” jelasnya.

Pada 13 Oktober 2020, Apandi menfailkan saman dengan menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu sebagai tidak sah.

Bagaimanapun, pada 15 Februari lalu, kerajaan bersetuju bagi penyelesaian luar mahkamah kes saman tersebut malah ia dikelaskan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here