Mayat mangsa selesai dibawa keluar,perakam suara kokpit ditemui

0
205

SEMUA mayat mangsa nahas pesawat persendirian terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran Bandar Elmina telah dibawa keluar dari lokasi kejadian, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau  berkata proses membawa keluar mayat termasuk anggota badan dan cebisan tubuh mangsa selesai kira-kira 10.30 malam tadi, dan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan pengecaman.

“Polis dengan bantuan Bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan agensi terlibat membawa keluar 10 mayat dan lima bungkusan cebisan anggota badan. Semua mayat akan dibawa ke HTAR untuk proses bedah siasat termasuk pengecaman,” katanya, lapor FMT.

Beliau turut memaklumkan pasukan penyiasat sudah menemukan perakam suara kokpit pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu.

‘’Perakam suara itu, salah satu komponen kotak hitam, ditemukan oleh pasukan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara dan telah dibawa ke makmal untuk dianalisis,’’ katanya.

Apabila ditanya berapa lama masa diperlukan untuk melengkapkan analisis tersebut, Hussein berkata: “Itu saya tak boleh jawab. Itu bergantung kepada Bahagian Siasatan Kemalangan Udara.’’

Sementara itu, berhubung kemungkinan pesawat itu mengalami kerosakan enjin, beliau berkata, perkara itu sedang disiasat pihak berkaitan.

Kata Hussein lagi, ketika ini pasukan penyiasat sedang mengesan perakam data penerbangan pesawat tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, 10 terkorban selepas pesawat jenis Beechcraft Model 390 terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Antara yang terkorban seorang penunggang motosikal dan pemandu sebuah kereta yang maut terkena serpihan pesawat.

Pesawat milik Jet Valet Sdn itu berlepas dari Langkawi dan dilaporkan telah diberi kebenaran oleh menara kawalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang.

Bagaimanapun, pesawat yang membawa enam penumpang dan dua juruterbang dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here