Kes Ebit Lew: Bukan semua gambar tangkap layar diteliti – Saksi

0
202

MAHKAMAH Majistret di sini hari ini diberitahu bahawa bukan semua gambar tangkap layar yang diperoleh daripada telefon bimbit seorang pengadu wanita dalam kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, diteliti.

Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM) Latifah Abdul Aziz, 43, berkata terdapat sebanyak 436 gambar tangkap layar dipercayai mengandungi unsur lucah diperoleh daripada telefon bimbit pengadu yang merujuk kepada perbualan dengan tertuduh di aplikasi WhatsApp.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan peguam Ram Singh, yang mewakili Ebit Lew, bahawa ia adalah sebahagian daripada 156,789 gambar yang terdapat dalam telefon bimbit itu.

Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata bagaimanapun, gambar lain tidak mempunyai kaitan dengan permohonan pegawai penyiasat dalam kes tersebut.

Latifah berkata demikian semasa disoal balas oleh peguam itu pada perbicaraan kes Ebit Lew di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Katanya beliau menggunakan perisian di makmal forensik PDRM bagi mengeluarkan keseluruhan data daripada barang kes sebelum menjalankan analisis pemerhatian seperti dalam permohonan pegawai penyiasat.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok. 

BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here