Dr.Mohammad dilantik TKM (1) Pulau Pinang, Reezal Merican tiada dalam senarai Exco

0
195

AHLI  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid dari PKR sah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I yang baharu bagi penggal kali ini.

Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang itu juga diberi tanggungjawab untuk mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.

Dr Mohammad antara tujuh muka baharu yang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang.

Majlis pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Sri Pinang , Georgetown.

Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Khadijah Mohd Nor, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee, lapor Sinar Harian.

Pada majlis itu, ADUN Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II selain akan mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi.

ADUN Bertam daripada UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang dikhabarkan akan dinamakan sebagai Timbalan Ketua Menteri, bukan sebahagian daripada 10 orang exco.

ADUN Sungai Acheh dari Barisan Nasional (BN), Rashidi Zinol, adalah wakil tunggal gabungan itu dalam Exco, dan akan mengetuai Jawatankuasa Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Pembangunan Luar Bandar.

Barisan Exco itu terdiri daripada tujuh wakil DAP, dua daripada PKR, dan seorang daripada UMNO. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here