Tiada semak imbang, Terengganu bakal perhalusi Adun lantikan

0
197

TERENGGANU akan memperhalusi kemungkinan melantik Adun tanpa melalui proses pilihan raya bagi mengimbangi tiada wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia perlu diperhalusi berpandukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu dan tiada keputusan dibuat setakat ini.

“Sebagaimana Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu, kerajaan negeri ada kuasa melantik Adun sekiranya ada kelompok tertentu, kaum atau apa jua yang tidak ada perwakilan.

“Ini akan kita perhalusi dan tengok segmen mana dalam masyarakat kita yang tidak ada wakil dan selepas itu, kita akan melantik mana-mana dalam kalangan mereka yang perlu,” katanya menurut Berita Harian selepas majlis mengangkat sumpah menteri besar dan 10 exco semalam.

Pada PRN Sabtu lalu, Perikatan Nasional menyapu bersih 32 kerusi DUN Terengganu, sekali gus menyaksikan tiada wakil pembangkang dan mencetuskan kebimbangan tiada semak dan imbang dalam DUN.

Samsuri berkata, tiada kategori dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu menyatakan Adun lantikan itu perlu terdiri daripada ahli politik parti pembangkang.

“Kalau ikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu, tidak ada kategori sedemikian, yang ada hanyalah jika di dalam dewan itu ada kelompok yang tidak ada wakil.

“Contohnya tidak ada Adun wanita, Orang Asli atau kaum lain…jadi kita boleh lantik (wakil dari kelompok itu, tetapi) tidak ada menyebut tentang boleh dilantik daripada parti lain.”

Disebabkan tiada semak dan imbang dalam DUN, Samsuri menyarankan semua Adun bersikap terbuka untuk mengkritik kerajaan negeri.

“Kita kena bersedia menerima pandangan daripada dalaman sendiri, kritikan dan sebagainya berikutan ketiadaan pembangkang.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here