Muhyiddin lepas bebas tuduhan rasuah RM232.5 juta

0
239

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini melepas dan membebaskan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Malaysiakini melaporkan, Hakim, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa pertuduhan ke atas bekas pedana menteri itu adalah cacat, tidak berasas dan kabur serta tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya, pertuduhan itu juga tidak mendedahkan butir-butir yang mencukupi mengenai kesalahan yang didakwa mengikut Akta SPRM 2009. Justeru, tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.

Mahkamah berpendapat, jika perbicaraan diteruskan, ini akan menyebabkan Muhyiddin tidak dapat menyediakan pembelaan sewajarnya dan menjadikan pendakwaan ke atasnya sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Mahkamah Tinggi kemudiannya memerintahkan Muhyiddin dilepaskan dan dibebaskan daripada empat pertuduhan salah guna kuasa itu, yang masih belum selesai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Muhyiddin, 75, memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat pertuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Dia memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas prosiding, Muhyiddin berkata keputusan hari ini membuktikan dakwaannya sejak awal lagi bahawa empat pertuduhan salah guna kuasa itu bermotifkan politik.

“Ia bertujuan untuk menekan saya, tuduhan palsu ini tidak membuktikan apa-apa kesalahan. 

“Saya akan turun ke padang dan menjelaskan perkara ini kepada rakyat,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.

“Ini adalah penyalahgunaan proses mahkamah oleh pihak tertentu. Ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya lagi.

Ketika bercakap kepada media, penyokong yang berada di sekelilingnya mula mengangkat tangan dan melaungkan ‘Referendum’, ‘Takbir’ dan ‘Allahuakbar’ berulang kali, dan ini mendorongnya turut berbuat demikian.

Muhyiddin, antara lain diwakili oleh peguam, Hisyam Teh Poh Teik, K Kumaraendran dan Rosli Dahlan.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here